PENCERAMAH seminar karya agung sastera China Hikayat Tiga Negara dianggotai
Dr Awang Sariyan (kiri) dan Boon Chan (kanan) dan dipengerusikan oleh Datuk Termuzi Abd Aziz.

HIKAYAT Tiga Negara (HTN) atau San Guo Yan Yi karya Luo Guanzhong ditulis pada abad ke-14 adalah novel sejarah yang bukan calang-calang, mengangkat latar zaman pergolakan pada akhir zaman Dinasti Han, membabitkan tiga negara, Wei, Shu dan Wu, bermula pada 169 Sebelum Masihi (SM) dan berakhir dengan penyatuan tiga kuasa pada 280 SM.

Novel terbabit adalah satu daripada empat novel klasik kesusasteraan China yang dianggap mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia kesusasteraan Asia Timur sehingga dipilih untuk diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Terjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Sastera sejarah selalu dikaitkan dengan ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa. Khazanah kesusasteraan Alam Melayu umpamanya merakam jatuh bangun sesebuah empayar. Justeru, setiap naskhah sastera ada nilai positif dan karya agung tamadun bangsa itu perlu dihayati, dijadikan iktibar dan diambil episod sejarahnya. – Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, menyifatkan usaha penterjemahan itu mengukuhkan lagi persahabatan Malaysia – China berdasarkan hubungan tamadun Melayu dan China yang sangat signifikan dan berlangsung sejak sekian lama.

“Umat Melayu muncul lama dalam rekod empayar China sejak SM lagi. Malah, Dinasti Tang misalnya mengutus I Ching tinggal di Sriwijaya selama enam bulan. Zaman itu sudah wujud minat kerajaan China terhadap dunia Melayu yang didominasi ketika itu antaranya oleh Melaka dan Sumatera.

“Abad ke-15, mereka sudah mengkaji bahasa Melayu kerana kepentingannya sebagai bahasa ekonomi di Asia Tenggara, malahan muncul kamus pertama bahasa China ke bahasa Melayu dengan 480 patah perkataan merangkumi 17 ranah kehidupan disusun oleh I Ching pada abad ke-16.

“Hubungan moden Malaysia dan China bermula pada 1946 sementara pada 1949, Universiti Peking adalah universiti pertama di China menubuhkan Pusat Pengajian Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia,” katanya ketika membincangkan Tamadun Melayu dan Tamadun China Berwaca: Perkongsian Nilai dan Rasa Melayu Melalui Hikayat Tiga Negara pada Seminar Hikayat Tiga Negara, baru-baru ini.
Dr Awang berkata, China yang dianggap sebagai antara tamadun besar dunia turut merekodkan sejarahnya dalam konteks sastera dengan sastera sejarah sebenarnya mewakili sistem sosiobudaya, politik, ekonomi, sistem kepercayaan sistem nilai dan seluruh etos bangsa serta ketamadunan.

“Sastera sejarah selalu dikaitkan dengan ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa. Khazanah kesusasteraan Alam Melayu umpamanya merakam jatuh bangun sesebuah empayar. Justeru, setiap naskhah sastera ada nilai positif dan karya agung tamadun bangsa itu perlu dihayati, dijadikan iktibar dan diambil episod sejarahnya,” katanya.

Dr Awang memberi contoh dalam kesusasteraan Melayu, Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa adalah antara naskhah sastera sejarah, selain Sejarah Melayu serta Hikayat Hang Tuah turut diiktiraf sebagai warisan persuratan dunia oleh UNESCO.

Penterjemah HTN, Yuen Boon Chan, pula menyifatkan HTN bukan saja membicarakan persoalan sejarah tragedi bangsa China, tetapi juga peristiwa penyebab kepada terjadinya kekacauan di negara itu.

“Disisipkan juga bagaimana penyatuan bangsa Han, harapan petani untuk mencapai kehidupan aman, pemikiran aliran utama, konsep ketaatan dan keadilan, bakat intelek pada zaman feudal China, raja yang bijaksana dan perdana menteri yang pintar.

“Pemaparan plot yang pada satu sisi memerikan sengketa dan peperangan ditunjukkan pula nilai murni yang sewajarnya digunakan untuk mengatasi sifat jelek yang ada pada manusia di pelbagai peringkat,” katanya ketika merincikan Hikayat Tiga Negara dan Pengaruhnya.

Menurutnya, dalam kalangan orang China di Malaysia kisah dalam HTN tidak langsung asing kepada mereka kerana HTN bukan hanya sebuah teks agung, sebaliknya kehebatannya menyebabkan diadaptasi dalam komik, buku cerita bersiri, malahan drama mahupun filem.

“Kisah kejahatan dan kepintaran watak dalam HTN sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan dijadikan panduan bagaimana sebuah empayar yang besar lagi hebat boleh jatuh, selain kemudiannya bersatu atas tujuan yang sama.

“Kajian perbandingan dengan teks sastera sejarah Alam Melayu seperti Salatus al-Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat al-Nafis, nescaya mendatangkan manfaat atas dasar perkongsian nilai sejagat seperti kebenaran, keadilan, perikemanusiaan dan setiakawan yang membentuk keutuhan sebuah bangsa,” tegasnya.

Sumber: Berita Harian