Tingkat kajian ilmiah dalam bahasa Melayu

PUTRAJAYA: Ahli akademik perlu memperhebatkan kajian ilmiah menggunakan bahasa Melayu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Kain Ching berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul bagi memastikan bahasa Melayu tidak lenyap ditelan zaman atau sekadar menjadi bahasa komunikasi saja.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada cara untuk memperkayakan khazanah bahasa Melayu.

“Kelestarian bahasa Melayu terutama pada peringkat tinggi harus diteruskan supaya ia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelbagai bahasa antarabangsa

“Begitu juga dengan penterjemahan dan penerbitan karya asing ke dalam bahasa Melayu.

“Ia perlu dipergiatkan kerana ia penting terutamanya bagi membolehkan pelajar di universiti untuk menggunakan buku bahasa Melayu sebagai bahan rujukan utama dan tidak bergantung pada rujukan dalam bahasa Inggeris semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika berucap merasmikan Seminar Bahasa Melayu: Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan kementerian itu, Datuk Nik Ali Mat Yunus; Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library London, Datuk Dr Annabel Teh Gallop dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar.

Seminar sehari itu diadakan bagi menyuburkan kesedaran ahli akademik di negara ini mengenai kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu, selain menyebarkan maklumat berkaitan ATABM 2017.

Kain Ching turut menyentuh mengenai langkah kerajaan memperkasa bahasa Inggeris, yang menurutnya bukan dilakukan bagi menggantikan bahasa Melayu.

Katanya, situasi itu tidak sepatutnya menggugat kedudukan bahasa Melayu kerana kejayaan mendaulatkannya sebagai bahasa ilmu akan diukur berdasarkan keyakinan terhadap keupayaannya sebagai bahasa ilmu dan kemajuan.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.