Setiap warganegara perlu fasih bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 9 Julai – Bahasa rasmi negara ini merupakan bahasa Melayu dan setiap warganegara Malaysia perlu memiliki tahap kemampuan yang munasabah terhadap bahasa tersebut, sama ada suka atau tidak.

Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan berkata, beliau kecewa kerana kebanyakan masyarakat Tionghua di negara ini memandang keperluan lulus subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sesuatu yang tidak perlu dan tidak berasas.

“Tetapi penduduk di negara-negara terbabit tidak mengutuk kerajaan kerana menetapkan keperluan bahasa, malah langsung tidak menganggap yang mereka telah diperlakukan secara tidak adil. Mungkin saya salah tetapi saya tidak pernah mendengar mereka mengadu atau membantah kerana ini merupakan sebahagian yang terdapat dalam sistem pentadbiran negara mereka.

“Bahasa kebangsaan dan rasmi sama ada bahasa Inggeris, Mandarin atau Melayu merupakan komponen penting yang membina sebuah negara, membolehkan masyarakat daripada latar belakang berbeza untuk bergaul dan berinteraksi, seterusnya mewujudkan beberapa pemahaman umum serta perpaduan negara.

“Secara realitinya, bahasa kebangsaan mempunyai nilai praktikal yang tinggi kerana membenarkan orang ramai yang mengunjungi pejabat kerajaan atau hospital berkomunikasi dengan bahasa yang difahami semua,” katanya memetik tulisannya di akhbar harian bahasa Mandarin tersebut.

Baru-baru ini, polemik berhubung penggunaan bahasa Melayu timbul berikutan tindakan Kementerian Kesihatan mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dalam SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Jelas Tian Yan, di Malaysia pula, ramai kaum Cina memberi alasan dan teori masing-masing bagi menentang keputusan lulus Bahasa Melayu sebagai keperluan untuk bekerja dalam sektor kerajaan dan menjalani housemanship.

Katanya, kadangkala beliau merasakan golongan berkenaan tidak menyedari bahawa mereka merupakan warganegara dan menetap di negara yang dinamakan Malaysia.

“Mereka seolah-olah hidup dalam dunia sendiri yang penuh khayalan dan dalam cara yang hanya mereka suka. Tolonglah, ini bukan progresif tetapi menyekat diri.

“Mungkin golongan ini mahu berhijrah, memikirkan kehidupan yang riang dan tanpa batasan namun lama kelamaan mereka akan menyedari bahawa bakal terlibat juga dalam keperluan baharu termasuk kemampuan dalam bahasa baharu,” katanya.

Justeru Tian Yan berkata, bagi penjawat awam dan doktor yang tidak mempunyai kelulusan Bahasa Melayu dalam SPM, boleh mencari prospek yang lebih baik di tempat lain.

Ujar beliau, walau bagaimanapun sekiranya mereka bertegas ingin mengekalkan kedudukan sama, apa yang perlu dilakukan adalah mudah iaitu mengambil kertas subjek Bahasa Melayu dalam SPM dan mendapat keputusan lulus.

“Ia tidaklah begitu sukar, bukan?” soalnya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.