Giatkan kembali penyelidikan manuskrip Melayu di Belanda

CYBERJAYA: Malaysia perlu kembali menggiatkan penyelidikan ribuan manuskrip alam Melayu yang disimpan di Universiti Leiden, Belanda.

Pensyarah Leiden Institute for Area Studies (LIAS) di Universiti Leiden, Dr S Suryadi, berkata beliau melihat kajian dan penyelidikan manuskrip yang alam Melayu itu semakin merosot terutamanya selepas penutupan Kursi Pengajian Melayu Eropah di universiti berkenaan.

Beliau berkata, berbeza dengan Malaysia, China sangat agresif dalam usaha meningkatkan penyelidikan manuskripnya.

“Leiden mempunyai simpanan bahan berkaitan dunia Melayu yang sangat besar tetapi ia tidak digunakan dengan baik oleh negara ini sedangkan Malaysia adalah wilayah Melayu yang sudah meraih pelbagai pencapaian mengagumkan.

“Malaysia perlu menggiatkan kembali usaha menghantar penyelidik dan pelajar ke Leiden bagi memastikan manuskrip disimpan di sana dapat kita manfaatkan.

“Wujudkan kembali Kursi Pengajian Melayu yang diadakan dengan kerjasama Leiden dan Kementerian Pengajian Tinggi yang sudah terhenti sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada Wacana Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu: Gagasan dan Cabaran di Universiti Islam Malaysia (UIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden UIM, Tan Sri Mohd Yusoff Mohd Noor; Ketua Pengajian Warisan dan Peradaban UIM, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Penyelidik Kanan Royal Institute of Linguistics and Antropology Leiden (KITLV), Willem van der Molen.

Sementara itu, Abdul Latiff, berkata isu berkenaan adalah sesuatu yang serius dan perlu dilakukan satu pelarasan supaya ia dapat dilaksanakan dengan rakan rumpun Melayu yang lain.

“Eropah sudah memelihara dan menyimpan khazanah itu serta tidak dimusnahkan tetapi kita pula perlu mengambil usaha seterusnya untuk terus mengembangkan warisan budaya Melayu itu.

“Saya melihat penting untuk usaha ini dilakukan dan disertai gagasan rumpun Melayu supaya kita dapat terus memelihara kekayaan warisan bangsa,” katanya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.