Kitab perubatan bukti keupayaan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Ketika keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masih dipertikaikan, ia sebenarnya sudah digunakan bagi merakam perubatan Malayonesia atau rantau Melayu sejak abad ke-16 lagi.

Catatan tertua mengenai rakaman perubatan Malayonesia pada abad itu ialah daripada kitab Sheikh Shafiyuddin al-’Abbasi, Sia-Sia Berguna yang kemudiannya disalin oleh Sheikh Abdul Qadir Mushthafa al-Fathani.

Felo Penyelidik Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata selain itu terdapat satu lagi manuskrip perubatan Malayonesia yang ditulis bahasa Melayu iaitu Tib dan Azimat bertarikh 1795 Masihi.

“Kedua-dua manuskrip dalam bahasa Melayu ini menyatakan perubatan Malayonesia diamalkan berasaskan flora dan fauna dan bukan hanya herba saja selain menggabungkan metafizik, iaitu aspek rohani dan keagamaan.

“Perubatan ini kemudiannya dikenali sebagai mujarabat dengan manuskrip terkenalnya ialah Mujarabat Melayu yang disusun Ahmad al-Dyr al-Shafi’y pada 1882 Masihi.

“Ia berbeza daripada perubatan Melayu kemudiannya, iaitu tdib atau tib yang tidak mengandungi atau kurang unsur metafiziknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan makalah Jati Diri Nasional Menerusi Beberapa Unsur Ilmu Asli dalam Bahasa Melayu pada Seminar Kebahasaan Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia (MABBIM) bersempena Sidang ke-55 MABBIM.

Terdahulu, Seminar Kebahasaan MABBIM yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang mewakili Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

MADINAH memalu gong merasmikan Seminar Kebahasaan MABBIM yang berlangsung di Menara DBP, Kuala Lumpur – Foto Mahzir Mat Isa

Dalam pada itu kata Shaharir, perihal kehebatan ilmu perubatan di Jawa turut dicatat dalam naskhah Tropische Geneeskunde yang diterbitkan di Amsterdam pada 1630 Masihi.

Naskhah ditulis Jacob Bontius, iaitu seorang doktor yang bertugas dengan Syarikat Hindia Timur Belanda selama beberapa tahun turut menyenaraikan penyakit dan ubat yang menjadi bahan perubatan masyarakat di pulau Jawa pada masa itu.

“Beliau menyenaraikan puluhan penyakit dan ubat-ubatan yang terdiri daripada 82 jenis pokok dan tumbuhan serta 88 haiwan yang digunakan masyarakat Jawa bagi tujuan berubat.

“Menurut Bontius, apa yang digunakan dalam perubatan masyarakat Jawa pada masa itu adalah lebih maju daripada apa yang terdapat di Eropah.

“Sehingga kini naskhah ini masih belum diterjemahkan ke bahasa Melayu sedangkan ia mewakili jati diri Malayonesia selain turut menjadi khazanah tertua kita yang sudah diantarabangsakan sejak abad 17 Masihi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Yang Dipertua Adat Istiadat Negara, Pengiran Dr Hidop Pengiran Samsuddin, berkata kewujudan kalangan Kerabat Diraja dan Keturunan Raja dalam Melayu Brunei menyebabkan penggunaan ‘Bahasa Dalam’ yang sering digunakan golongan itu, menjadi ‘sebati’ dengan seluruh lapisan masyarakatnya.

Penggunaan ‘Bahasa Dalam’ yang kini seiring dialek Melayu Brunei, kini seolah-olah menjadi lambang keperibadian mulia yang dijalani masyarakat Melayu Brunei dan mewakili keharmonian bernegara dalam kalangan masyarakatnya.

SHAHARIR (kiri) pada Seminar Kebahasaan Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia (MABBIM) bersempena Sidang ke-55 MABBIM di DBP, Kuala Lumpur.

INFO

Bahasa Melayu digunakan dalam teks perubatan sejak abad ke-16

Antaranya teks tulisan Sheikh Shafiyuddin al-’Abbasi, Sia-Sia Berguna selain Tibdan Azimat bertarikh 1795 Masihi.

Turut dirakamkan oleh sarjana Belanda, Jacob Bontius menerusi Tropische Geneeskunde yang diterbitkan di Amsterdam pada 1630 Masihi.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.