Jadikan Bahasa Melayu agenda negara

KENYATAAN Sultan Perak minggu lalu dalam satu majlis di sebuah sekolah Perak wajar diangkat sebagai agenda negara. Dalam majlis tersebut DYMM Sultan Nazrin Shah bertitah agar sekolah vernakular wajib mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar berupaya menguasai bahasa Melayu dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan. Titah baginda lagi bahasa usaha untuk memfasihkan setiap pelajar menguasai bahaa kebangsaan hendaklah diterima sebagai suatu cabaran dan pencapaian pelajar menguasainya dijadikan satu daripada indek sutama pengukuran pencapaian sekolah vernakular.

Tuanku Sultan Perak melihat keperluan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama negara dan semua kaum di negara ini. Meskipun tidak menafikan keperluan sekolah vernakular mengajarkan bahasa ibunda masing-masing, namun bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, Bahasa Melayu wajar menjadi teras perantara komunikasi penting di negara ini. Tidak ada alasan bagi bangsa-bangsa lain menjadikan alasan tidak fasih berbahasa Melayu dan lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda sebagai bahasa perantara.

Bahasa Melayu adalah lambang kedaulatan dan semangat patriotisme negara. Ia termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Dengan tidak menolak penggunaan bahasa lain untuk digunakan, tetapi dalam urusan rasmi seharusnya Bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa utama komunikasi masyarakat. Dalam usia negara yang mencecah lebih 60 tahun merdeka, mengapa semua bangsa di negara ini masih tidak mampu menguasai Bahasa Melayu? Apa yang silapnya bahasa ini dan mengapa ia seakan menjadi tidak penting kepada negara?

Keperluan menguasai Bahasa Malaysia tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak. Suatu ketika berlaku polemik apabila segelintir pihak mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji balik syarat lulus Bahasa Melayu dalam Sijil pelajaan Malaysia (SPM). Mereka mahu kelonggaran agar pelajar ini mampu pergi jauh dalam pengajian tinggi tanpa mahu menguasai atau memahami bahasa Melayu! Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tidak akan berkompromoi dengan tuntutan tersebut, ia kekal menjadi sejarah apabila ada pihak mula mencabar kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Dalam sektor pekerjaan pula, tidak ramai majikan meletakkan syarat pekerja yang diambil bekerja mesti lulus Bahasa Melayu. Malah, seringkali para majikan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi ketika sesi temuduga dan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris, tidak akan diambil bekerja. Akibatnya, ramai orang Melayu tidak dapat pekerjaan berbanding bangsa lain kerana masalah penggunaan bahasa itu. Yang menghairankan tindakan majikan ini dibiarkan sewenang-wenangnya tanpa teguran atau tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Sebahagian pihak pula merungut melihat semakin banyaknya papan tanda dan kenyataan yang menggunakan Bahasa Inggeris. Malah kertas-kertas persidangan bersifat tempatan juga menyediakan tajuk dan kertas berbahasa Inggeris. Syarikat-syarikat yang ditubuhkan pula langsung tidak menggunakan nama Bahasa Melayu. Ada ketikanya menteri dan pemimpin negara yang berbangsa Melayu membuat kenyataan di media menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi sedangkan audiennya dan isu yang dibangkitkan bersifat tempatan atau hanya berkisar dalam negara sahaja.

Tidak kurang kedengaran suara wakil rakyat yang berbahasa fasih dalam Bahasa Inggeris, tetapi terkial-kial berbicara dalam Bahasa Melayu. Mereka juga bangga dan senang menulis dalam Bahasa Inggeris, atau Bahasa Melayu yang ‘dirojakkan’ dengan banyaknya menggunakan bahasa Inggeris. Jika pemimpin negara atau wakil rakyat juga tidak mementingkan Bahasa Melayu, bagaimana dengan rakyat di bawah?

Justeru, saranan pihak yang meminta agar calon wakil rakyat sama ada (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen mesti wajib lulus ujian bertulis / lisan dalam Bahasa Melayu adalah cadangan idealistik yang baik untuk dilaksanakan. Kita mahukan pemimpin yang fasih dan berbangga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama, bukannya jenis pemimpin yang menghina dan merendahkan kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Mereka adalah ikutan masyarakat, jika pemimpin tidak boleh menjadi teladan baik kepada masyarakat mereka tidak layak menjadi pemimpin. – HARAKAHDAILY 30/10/2017

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.