Jawatankuasa peringkat Kabinet pantau keutamaan penggunaan bahasa Melayu

ALOR SETAR: Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di negara ini, diyakini dapat diperkemas dengan mewujudkan akta khusus untuk tujuan penguatkuasaan isu itu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usaha mewujudkan akta terbabit adalah di antara yang akan dibincangkan jawatankuasa khas yang bakal dibentuk di peringkat Kabinet, khusus untuk menilai isu berkaitan pemerkasaan bahasa Melayu, agar ia diberi keutamaan dalam setiap sektor di negara ini.

Mengulas lanjut, katanya jawatankuasa khas di peringkat Kabinet itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memudahkan setiap arahan dan pelaksanaan ke arah usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu digerakkan.

“Kertas kerja mengenai perkara itu akan dibentangkan dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk mendapat persetujuan jemaah menteri…antara yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa ini kelak ialah untuk mewujudkan akta untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang yang akan diberikan kepada DBP yang selama ini hanya menjadi tempat rujukan bahasa dan menasihati.

“Sekiranya ia diluluskan Parlimen, DBP boleh mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak mengutamakan bahasa Melayu…contohnya apabila berkunjung ke laman sesawang, bahasa Melayu mesti nombor satu sebelum diikuti bahasa lain.

“Jika ada pihak yang ingkar selepas diberi teguran, maka DBP mempunyai kuasa untuk mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Wacana Intelektual Bersama Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman dan IPG Sultan Abdul Halim di IPG Darul Aman di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan bertindak sebagai urusetia dalam jawatankuasa terbabit yang akan turut membabitkan kerjasama beberapa kementerian lain, agar usaha itu mudah dilaksanakan.

Katanya, antara yang terbabit termasuklah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selain Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah mereka ada Majlis Bandaraya dan pihak berkuasa tempatab, jadi arahan boleh dikeluarkan secara terus supaya setiap papan iklan mengutamakan bahasa Melayu.

“Begitu juga dengan kementerian lain, mereka akan melaksanakan setiap yang akan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa ini dengan arahan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.