Usah izin peredaran masa hakis martabat bahasa Melayu

KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159 (5) menetapkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Selain itu, dalam Perkara ini, ‘maksud rasmi’ ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 juga menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Malangnya, apa yang berlaku sekarang, pencemaran dan penghakisan bahasa Melayu berlaku di kalangan rakyat Malaysia terutama remaja dan belia Melayu di mana semua perkataan disingkatkan dan perkataan yang tiada dalam kamus atau perbendaharaan kata diwujudkan.

Saya kerap mendengar rungutan guru yang mengatakan terdapatnya pelajar menggunakan perkataan yang dibualkan dalam penulisan karangan malah dalam peperiksaan SPM pun. Sedangkan, orang luar negara pun memandang tinggi terhadap bahasa Melayu.

Menurut Sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, ‘Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di Levent’.

Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa didapati berkaitan dengan kurang sensitifnya sebahagian anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.

Tambahan pula, ramai generasi muda sekarang semakin kendur semangat cintakan dan hormati bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan asas percakapan kerana merasakan ia ketinggalan zaman dan mungkin ditertawakan oleh kawan-kawan.

Di samping itu, penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard). Gambaran masa kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan semakin menurun penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat, terutama berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmiah.

Keadaan ini boleh dilihat pada beberapa perkara berikut:

Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.

Sekarang ini, heboh diperkatakan tentang KKM memberi kelonggaran syarat lulus BM SPM dalam pengambilan pegawai perubatan ke jawatan tetap, di mana ramai yang membantahnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan martabat bahasa Melayu dan mutu perkhidmatan perubatan.

Lemahnya penguatkuasaan dan tindakan pihak berkuasa dalam kewajipan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan alat-alat media penyiaran.

Bahasa Melayu telah dipinggirkan dalam sistem pendidikan dalam tahun 2007 apabila agenda Wawasan 2020 diperkenalkan. Sekolah vernakular dan sekolah-sekolah Cina bebas pula menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan pengajaran subjek Bahasa Melayu tidak dijadikan subjek wajib.

Era Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.

Menurut laporan akhbar bahasa Inggeris pada Januari 2004, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Kenyataan ini merendahkan martabat dan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Ada juga yang menyelar pejuang bahasa dan bangsa sebagai jumud dan ketinggalan zaman.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah berperanan sebagai penyatu kaum dan bangsa rakyat Malaysia sejak dahulu kala apabila ia menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa perundangan dan bahasa komunikasi.

Penggunaan kian terhakis

Tetapi, sejak negara menuju peradaban moden dan teknologi tinggi, penggunaan bahasa Melayu semakin terhakis. Oleh itu, perlu ada usaha daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di dalam agensi kerajaan, syarikat swasta, badan korporat, sekolah, institut pengajian tinggi malah dalam perbualan seharian kita juga.

Antara yang dicadangkan ialah kekalkan syarat kredit BM SPM untuk semua lantikan perjawatan tanpa mengira kontrak, sementara atau tetap; diwajibkan subjek Bahasa Melayu di semua sekolah vernakular, perkasakan Dasar Pendidikan Negara, serta kuatkuasakan undang-undang penggunaan Bahasa Melayu di tempat awam, di papan iklan dan di media penyiaran.

Adalah diharapkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang meluas dan bermutu tinggi, rakyat Malaysia boleh berdiri, berfikir dan lebih bertamadun dalam mengorak langkah membina negara yang berdiri sama tinggi dengan negara yang membangun lain.

Penulis: Pengerusia Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.