‘Jiwa’ pejuang bahasa Melayu

SASTERAWAN Negara (SN), Dr Muhammad Salleh paling awal menjadi terkenal di dunia. Tentu kerana bakatnya yang luar biasa dan kebolehan memahami serta memaparkan masalah berkaitan, bukan sahaja negaranya, tetapi seluruh umat manusia kerana puisinya bersifat sejagat dan boleh difahami oleh sesiapa sahaja.

Fenomena mendapat pengiktirafan di persada dunia ini, mungkin juga berpunca daripada kebolehannya menciptakan puisi dalam ‘bahasa penjajah’, iaitu bahasa Inggeris yang tentu lebih tersebar daripada bahasa Melayu di gelanggang antarabangsa.

Misalnya, dengan Russia terjemahan puisinya yang pertama dalam bahasa Inggeris. Orang yang menterjemahkannya bukan sebarang penterjemah, iaitu Robert Rozhdestvensky (1932-1994), penyair popular dan berwibawa serta pelopor aliran sastera Angkatan 1960-an. Perlu dicatatkan juga bahawa sastera Melayu terhutang budi kepada Rozhdestvensky. Dia juga menterjemahkan puisi Usman Awang, antaranya sajak Suara dari Pusara.

Mungkin kerana pendidikannya di luar negara (Amerika Syarikat) dan kebolehannya mencipta puisi dalam bahasa Inggeris, Muhammad Salleh digelar ‘penyair intelektual.’ Istilah itu digunakan juga oleh pengkaji Russia, Dr Boris Parnickel (1934-2004).

Saya berpendapat, istilah itu mengelirukan kerana ia memberi bayangan seakan-akan penyair lain di Malaysia bukan intelektual. Misalnya, SN A Samad Said dalam karyanya, menterjemahkan panorama kehidupan begitu luas dan memperlihatkan pengetahuan sastera dunia (termasuk sastera Russia) begitu mendalam sehingga mustahil sekiranya dia tidak tergolong kepada sasterawan intelektual.

Sama juga dikatakan, mengenai sasterawan lain, termasuk SN Kemala atau SN Anwar Ridhwan. Rasanya ‘keinggerisan’ karya kreatif Muhammad Salleh pada tahap permulaan kegiatan kreatifnya dianggap sebagai bukti intelektualisme.

Penyair intelektual

Muhammad Salleh boleh dibandingkan dengan penyair Russia, Iosif Brodsky (1940-1996) yang pada 1987 menjadi pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sastera. Selepas Brodsky diusir dari Russia kerana karyanya dianggap merugikan bagi ideologi komunis, dia mula mencipta puisi dalam bahasa Inggeris seperti dalam bahasa ibunda dan juga mula digelar sebagai penyair intelektual.

Kebolehan mencipta karya sastera dalam bahasa asing memang menakjubkan. Kalau Brodsky beralih daripada bahasa ibunda kepada bahasa asing (Inggeris), Muhammad Salleh sebaliknya beralih daripada bahasa asing kepada bahasa ibunda.

Muhammad Salleh sendiri pernah cerita, pada suatu ketika, dia ambil keputusan berhenti menulis puisinya dalam bahasa Inggeris demi keperkasaan bahasa Melayu. Bukankah bahasa Melayu antara bahasa paling cantik di dunia dan boleh digunakan untuk mengekspresikan segala fikiran serta perasaan dengan sempurna seperti bahasa utama lain di dunia?

Sumbangan berharga

Muhammad Salleh tidak berganjak dengan pendiriannya. Dia pandai mencipta suasana diperlukan dan bermain dengan kata sehingga menjadi hidup serta menguasai minda dan hati pembaca. Puisinya dalam bahasa Melayu menjadi sumbangan berharga terhadap khazanah sastera, bukan sahaja di Malaysia atau rantau ini tetapi di seluruh dunia.

Dengan penguasaan bahasa Inggeris, dia berjaya menterjemahkan karya Melayu ke dalam bahasa itu. Justeru, pembaca berbahasa Inggeris boleh menikmati dalam terjemahannya, misalnya puisi SN Baha Zain atau mahakarya sastera Melayu, Hikayat Hang Tuah yang baharu diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Kali pertama saya berjumpa dengan Muhammad Salleh di Moscow pada Jun 1996 pada seminar antarabangsa, bertemakan ‘Pembinaan Negara dan Proses Sastera/Budaya’, anjuran Persatuan Nusantara di Asia Tenggara. Ramai peserta dari rantau Asia Tenggara ikut serta dalam seminar itu, termasuk Taufiq Ismail dan Wiratmo Soekito dari Indonesia serta Ismail Hussein dan Muhammad Salleh dari Malaysia.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kehadiran Muhammad Salleh pada seminar antarabangsa itu bersama Taufiq, menjadi ‘jiwa’ seminar, pendiriannya diperlukan oleh semua. Penuh perasaan ingin tahu dia berjalan-jalan di sekeliling Moscow.

Kami bersama mengunjungi beberapa kedai buku dan Muzium Memorial Leo Tolstoy, bahkan menonton pertunjukan drama di teater Vakhtangov. Kebetulan malam itu dipentaskan drama berdasarkan karya Alexander Pushkin (1799-1837) Ratu Sped yang saya terjemahkan kepada Muhammad Salleh sebagai Ratu Kelawar.

Kami bertuah kerana pertunjukan itu ialah pertunjukan perdana (kali pertama diadakan pada 7 Mac 1996). Pengarahnya ialah pengarah legenda Russia, Peter Fomenko (1932-2012) dan peranan utama, countess tua dimainkan oleh aktres Rusia termasyhur, Lyudmila Maksakova.

Pada 2012, Peter Fomenko meninggal dunia, tetapi pertunjukan Ratu Sped yang diarahnya tetap malar hijau dan masih boleh dinikmati di pentas teater Vakhtangov.

Sangat menakjubkan, cara pemikiran Muhammad Salleh. Perhiasan pentas dan pakaian pelakon memperlihatkan perpaduan dua warna, hitam dan putih. Ia mendorongnya menulis sebuah puisi dengan renungan falsafah dua warna itu.

Persahabatan kami yang mula bercambah di Moscow dilanjutkan di Malaysia sejak 2001 apabila saya datang ke Kuala Lumpur untuk mengajar di Universiti Malaya.

Sering utus surat

Saya juga sering mengutus surat dengan Muhammad Salleh dan berjumpa beberapa kali di Kuala Lumpur. Apabila dia memerlukan bahan mengenai majalah Russia yang menerbitkan karya sastera penulis Malaysia atau penerbitan Russia mengenai Hikayat Hang Tuah, saya rela menolongnya pula.

Peribahasa Russia berbunyi ‘menempuh hidup tak semudah menyeberang padang.’ Muhammad Salleh mengharungi kehidupan yang tidak mudah, tetapi penuh bermakna.

Dia mendidik ramai pakar sastera, penyair muda mahu mengikuti teladannya. Jika dia menilik nasibnya mungkin dia boleh mengatakan dengan bangga bahawa kehidupannya berhasil kerana segala pengorbanan dan perjuangannya untuk memperkasakan Bahasa Melayu tidak sia-sia.

Penulis ialah Sarjana Rusia, bekas Profesor Madya di Universiti Malaya

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.