Umno megahkan bahasa Inggeris

DRY run, kenapa guna istilah Inggeris? Apa, bahasa Melayu tak ada gah kah?

Adapun yang bertanya itu ialah bekas pemimpin dan otai Umno, Tan Sri Dr Rais Yatim. Penasihat Sosiobudaya Kerajaan itu menegur parti tersohor Melayu itu terlalu mengagungkan bahasa asing.

Dalam Twitternya, beliau meluahkan perasaan: “Sayang sekali Umno sangat terikut-ikut guna bahasa Inggeris. ‘Dry run’, ‘war room’, ‘candidate’ dan lain-lain. Mereka tak mahu guna raptai pilihan raya atau bilik gerakan…”

Menurut beliau dalam persiapan menghadapi PRU14 Umno banyak sangat menggunakan istilah asing, pada hal “memperjuangkan bahasa Melayu dan budaya adalah di bawah Fasal 3 Perlembagaan Umno, lupakah?”

Saya bukan ahli mana-mana parti. Tetapi mungkin sebahagian besar ahli Umno yang lebih 3 juta itu, tidak perasan atau sengaja buat ‘dhek’ mengenai perlembagaan parti.

Kalau parti itu benar-benar prihatin dan sungguh-sungguh melaksanakan Fasal 3 dengan berkesan, tidaklah bahasa Melayu berada pada tahap sekarang, terpinggir di bumi sendiri, hanya layak dicampakkan ke dalam tong sampah.

Parti Melayu yang sejak sekian lama menjadi tunjang pentadbiran negara gagal memartabatkan bahasa ibunda sebagai bahasa utama.

Nama sahaja bahasa kebangsaan @ bahasa rasmi tetapi bahasa berkenaan hari demi hari semakin diabaikan, sehinggakan pada acara rasmi pun orang lebih megah menggunakan bahasa Inggeris.

Memang, parti terbesar Melayu itu mempopularkan beberapa istilah Inggeris berkaitan pilihan raya. Beberapa pilihan raya lalu diperkenalkan istilah ‘winnable candidate’, ‘women power’, dan sebagainya.

Agaknya mereka kurang yakin, malu dan berasa sengkek sangat jika menggunakan istilah ‘calon boleh menang’ dan ‘kuasa wanita’. Mungkin bagi mereka istilah bahasa ibunda tidak ada ‘ummp’.

Apabila BN hilang majoriti dua pertiga, Umno memperkenalkan istilah ‘retreat’. Sana-sini ada ‘retreat’ untuk ‘brainstorming’ dan ‘postmortem’. Semua istilah yang disebutkan itu ada dalam perbendaharaan kata Melayu.

Kalau tidak kerana pilihan raya pun Umno lebih serasi dengan bahasa Inggeris. Ibu pejabat parti pun lebih biasa disebut PWTC – Putera World Trade Centre.

Pengangkutan Awam, pemandu teksi, pengemudi Grab dan Uber, orang ramai, hatta pemandu pelancong pun akan ternganga dan garu-garu kepala jika ditanya di mana PDDP @ Pusat Dagangan Dunia Putera.

PDDP kedengaran macam Melayu sangat, sinonim sangat dengan belacan, cencaluk atau budu. PWTC lebih sedap, ada kelas.

Berapa ramai masih ingat LKTP? Itu singkatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Oleh sebab singkatan Melayu tidak memberahikan, tukar kepada Felda @ Federal Land Development Authority.

Nama sahaja tukar Inggeris, tetapi cara bekerja dan pendekatan masih totok belacan dan budu, sebab itu banyak yang Felda buat lingkup.Demikian juga halnya dengan Felcra, Risda, Mardi, Porim, Petronas, Miti, Matrade, dan banyak lagi, semua singkatan bahasa Inggeris.

Maka orang tidak tahu dan tidak pernah dengar syarikat Pembangunan 1 Malaysia Berhad @ P1MB; sebab orang lebih kenal nama Inggerisnya: 1MDB.

Hatta, perkataan Umno itu sendiri adalah singkatan daripada bahasa Inggeris ‘United Malay National Organisation’, atau Melayunya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PKMB).

Umno, bunyinya lebih sedap berbanding PKMB. Lagi pun singkatan bahasa Melayu itu boleh dipesongkan sebagai Parti Kelentong Melayu Bersatu.

Mereka yang selalu jaki, dengki – dan kreatif – boleh pula merelevankan PKMB itu dengan sensasi dan situasi terkini – Parti Kleptokrasi Melayu Baharu.

Maka tidak payah tukar-tukar, elok kekalkan Umno.

Bersetuju benar saya dengan Dr Rais, untuk apa Umno guna istilah Inggeris sekiranya sudah ada perkataan asal bahasa ibunda. Kita ada raptai pilihan raya, kenapa guna ‘dry run’.

Kecualilah untuk istilah asing sebelum ini orang kita tidak biasa, dan sekiranya diterjemahkan takut tidak tepat maksudnya, seperti DOJ, MO1 dan sebagainya.

Seyogia diingat, seorang menteri kanan Umno dalam satu temu ramah dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) telah dengan terang-terang menterjemahkan erti MO1 dalam bahasa ibunda.

Perihal Dr Rais yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan itu, beliau memang selalu prihatin dan sentimental terhadap perkembangan bahasa Melayu, walaupun bahasa Inggerisnya amat baik.

Begitu pun beliau gagal mengekalkan perkataan ‘jalan’, dan tidak berupaya menyekat penggunaan perkataan Inggeris – Precinct – apabila Putrajaya menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.