Sepucuk warkah buat Dato Seri

Ke hadapan Dato Seri yang amat-amat dikasihi.

Terlebih dulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah atas kejituan hati Dato Seri akhirnya mengumumkan pembubaran parlimen yang ke-13.
Walaupun kami terseksa dan ada juga yang bakal kerugian – menunggu pengumuman itu setidak-tidaknya Dato Seri memberikan noktah kepada teka-teki yang tidak pernah perlu dipaksakan kepada kami itu.

Walaupun agak terlewat setidak-tidaknya kami sudah bolehlah merancang apa-apa yang perlu kami rancang sejak tahun lalu. Menetapkan tarikh kenduri dan nikah kahwin, misalnya, atau menempah bilik hotel atau membeli tiket kapal terbang untuk bercuti.

Percutian kami itu pula bukanlah sehingga ke Las Vegas atau New York, Dato Seri. Sebaliknya mungkin sekadar ke Segamat, atau Medan, atau Bangkok saja. Habis jauh pun mungkinlah ke Mekah untuk mengerjakan umrah.

Tempat-tempat lain nampaknya sebahagian kami tidaklah mampu waima meneguk kopi sedap di Vegas, apa lagi ke Nusa Dua, Perth atau Teluk Benoa.

Trump ciplak idea

Dato Seri,

Malam ini untuk kesekian kalinya kami bakal menyaksikan susuk gagah perkasa Dato Seri. Selayaknya seorang pendekar saya yakin Dato Seri akan menyampaikan amanat yang sangat bermakna serta bernilai tinggi buat ditawarkan kepada kami rakyat negara ini.

Sesuai dengan peri pentingnya ucapan itu besarlah harapan saya Dato Seri dapat menampilkan diri dengan selayak seorang pendekar.

Hal itu kerana kemunculan bergaya itu sangat penting supaya mesej yang sebenar dapat dipancarkan kepada semua musuh politik Dato Seri.

Semoga mereka tidak lagi mencari pasal dengan Dato Seri. Kecuali jika “pasal” itu sendiri mencari Dato Seri hal itu tentulah berada di luar kawalan kami.

Juga, sesuai dengan temanya ‘Hebatkan Negaraku’, biarlah susuk Dato Seri itu kelihatan sangat hebat. Dato Seri mungkin dapat meneladani gaya Presiden Donald Trump yang membawa obor sehebat itu dengan slogannya “make America great again”.

Sesekali terdetik juga pada sanubari saya, ada kemungkinan besar Trump itu menciplak idea Dato Seri sebenarnya.

Dato Seri,

Suka saya tekankan, keakraban Dato Seri dengan Trump itu janganlah pula sehingga Dato Seri meniru gaya ucapannya. Kita bangsa Melayu (atau Bugis dalam kes tertentu) semestinya mempunyai jati diri yang tersendiri. Ucapkanlah segala perkataan itu dengan lancar.

Jika ada perkataan stabil, lafazkanlah selayaknya stabil bukan stable. Kukuh itu digeruni kerana sebutannya kukuh bukan kokoh, itu bukan itew, futsal bukan ‘futsol’; individu, bukan individiu.

Jangan dicampuradukkan sebutan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bukankah perkara itu sudah ditegur Tan Sri Rais Yatim lama dulu? Lagi pun Dato Seri, malu juga saya nanti dengan kefasihan bahasa Melayu Datuk P Kamalanathan berbanding bahasa Dato Seri.

Jika ada soalan ditanyakan, maka jawablah ia dengan lidah yang fasih dan lancar: Malaysia negara kita, BN adalah parti kita, Pakatan Harapan adalah musuh kita.

Malu ke anak cucu

Dato Seri,

Kalau takdirnya ada ketika Dato Seri perlu mengepal tangan dan menjulangnya ke udara, kepallah dengan kejap dan kukuh seperti seorang pahlawan yang sudah teruji oleh zaman. Ia adalah detik yang serius dan genting. Ia menentukan masa depan dan kelangsungan Dato Seri serta parti Dato Seri.

Tidak dilupakan, Dato Seri, jika perlu menggunakan kiasan, berkiaslah dengan terang dan nyata. Fahami makna kiasan dan bidalan Melayu. Tidak semua ungkapan berbunga-bunga itu boleh dikelaskan sebagai kiasan.

Belajarlah dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PAS jika perlu untuk menyampaikan kiasan dan bidalan yang ampuh lagi jitu. Kiasan dan bidalan mereka sudah teruji berkali-kali sehingga kini mereka sering dikenali sebagai pakar dalam bidang berkenaan.

Atau jika enggan, ada ramai seniman dan sasterawan yang sedia untuk diminta petua dan ilmu mereka. Maka tidaklah dikatakan Dato Seri hanya teringat kepada golongan itu semasa berkempen saja.

Pastikan kiasan itu memang kiasan, bukan pesanan. Kegagalan berkias dengan tepat hanya akan memungkinkan Dato Seri terkais-kais mencari makna.

Akhir sekali Dato Seri, pastikan ayat yang disusun itu betul dalam maknanya. Biarlah ucapan Dato Seri dikenang kerana kehebatan dan keindahannya, bukan kerana kelucuan atau tersasar kata.

Cukuplah sekali Dato Seri cuba melayarkan bahtera dengan melabuhkan sauh. Malu ke anak cucu kami, Dato Seri.

Baca Tentang kipas yang membawa rebah

Jangan diucap sesuatu perkataan yang tidak perlu atau tidak tepat maknanya. Jangan dirujuk “zaman silam” negara ini secara sembarangan seperti semalam.

Dato Seri mungkin mahu merujuk kepada “zaman silam yang kelam lagi malap serta penuh kesuraman” itu sebenarnya kepada era yang tidak berapa silam. Faham benar kami akan mafhum Dato Seri, tetapi jangan dihukum “zaman silam” itu secara pukal.

Sewaktu-waktu ini selalu juga kami terkenang kepada almarhum perdana menteri yang lepas-lepas, termasuk bapa Dato Seri sendiri.

Tidakkah Dato Seri mengambil pengajaran daripada sebuah kisah yang khabarnya berlaku di timur sana, apabila seorang anak diherdik sebagai derhaka oleh si bapa?

Dunia sudah berubah dan sentiasa berubah, Dato Seri. Sekali melangkah teruslah melangkah. Jangan berundur, usah diturut resmi ayam betina yang bertelur satu riuh sekampung.

Ikutlah resmi Equanimity berlayar beribu batu tak ada siapa yang tahu. Diam-diam 1MDB, sebenarnya ada banyak isi.

Sekian, terima kasih.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.