Surat terbuka buat Tun Dr. Mahathir tentang PPSMI

Baru-baru ini Tun Dr. Mahathir bersuara bahawa kemungkinan Pakatan Harapan akan melaksanakan PPSMI (Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris).

Syabas diucapkan kepada Tun Mahathir yang begitu berani untuk mengambil risiko yang besar untuk melaksanakan atau mengulang semula dasar dan programnya yang kegagalannya sangat besar.

Jika pisang berbuah dua kali atau berkali-kali, untunglah tuan punya kebun tetapi dasar yang telah memangsakan jutaan pelajar di Malaysia apakah laba yang bakal diperoleh selain mengorbankan berjuta lagi pelajar di samping terus menguburkan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di negara sendiri?.

Apakah sebagai seorang negarawan dan perdana menteri kira-kira dua dekad, Tun Mahathir tidak mengambil iktibar daripada kegagalan PPSMI tersebut atau Tun sendiri telah menjadi salah seorang Melayu yang mudah lupa?.

Penulis ingin bertanya soalan mudah kepada Tun dan yang sepemikiran dengannya, jika Tun ingin pandai dan mahir bahasa Jepun, Tun akan belajar betul-betul bahasa Jepun bersungguh-sungguh atau Tun akan belajar sains matematik dalam bahasa Jepun?

Malah diingatkan di sini bahawa program “Dual Language Programme” juga sebenarnya jelmaan PPSMI kerana terlibat dengan usaha mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Ini juga sedang dibantah oleh banyak pihak. Luka bahasa dan jutaan pelajar akibat PPSMI yang belum sembuh ditambah dengan DLP dan terbaru mahu diulang semula dengan PPSMI oleh Pakatan Harapan jika memenangi pilihan raya.

Inilah agaknya yang dikatakan cerdik tidak boleh ditumpang atau bodoh yang tidak boleh diajar lagi.

Sama ada DLP atau PPSMI, kedua-duanya tetap sama iaitu mengajar sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris dan telah terbukti gagal hasil daripada kajian banyak pihak termasuk oleh beberapa universiti, Dewan Bahasa, dan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional atau PEMBINA dengan bantuan para profesor dan pakar pendidikan yang telahpun dibukukan dan diberi kepada banyak pihak, pemimpin dan kementerian.

Peningkatan bahasa Inggeris didapati tidak seberapa, tidak berbaloi dmalah keputusan sains dan matematik pula jatuh merudum. Mana tidaknya, pelajar belajar perkara baru dalam bahasa yang tidak dikuasai atau kurang dikuasai berbanding bahasa yang selalu digunakan, didengar dan bermain di bibirnya.

Pengajaran dalam bahasa yang asing tersebut bercanggah dengan fitrah dan teori pembelajaran sebagaimana yang turut diperaku oleh badan antarabangsa UNESCO seperti dalam Resolusi 1951nya.

Tidak boleh dinafikan secara mutlak bahawa antara kesan jangka panjangnya telah menyebabkan penurunan peratus pelajar yang mengambil bidang sains di sekolah berasrama penuh, MRSM malah di universiti walaupun dikatakan bahawa bidang pengajian juga telah bertambah.

Maka hasrat untuk mencapai nisbah 60:40 bagi bidang sains dan sastera telah terjejas. Sama ada pengajaran sains dan matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris itu secara paksaan atau sukarela atau pilihan ibu bapa itu bukan isu pokok atau dasarnya. Itu cuma soal kaedah atau teknik sahaja, teknik membuat pilihan.

Pokoknya ialah bahasa pengantar yang digunakan. Bahasa Inggeris. Dan yang dikaji ialah kesan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bukan dikaji isu sukarelanya atau paksanya.

Justeru semua kajian keburukan PPSMI sebelum ini tetap terpakai bagi PPSMI dahulu, DLP kini dan PPSMI “akan datang”.

Rakyat manakah lagi yang mahu ditanyai oleh Tun?. Adakah Tun Mahathir sudah lupa kira-kira 100,000 rakyat telah berarak ke Istana Negara untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong sehingga pihak polis turut diarah menyembur gas pemedih mata kepada rakyat yang tidak berdosa sedangkan mereka sekadar mempertahan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan sebagainya.

Turut tersembur ialah Sasterawan Negara, Pak Samad Said, almarhum Datuk Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Hasni Abas dan lain-lain termasuk penulis. Mereka semua bukanlah pengkhianat negara, atau tidak mahu rakyat pandai bahasa Inggeris seperti tuduhan palsu banyak pihak termasuk oleh Tun.

Tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan bahawa mereka yang terlibat mencadang dan melaksana dasar atau program sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris itulah pengkhianat bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sebenarnya kerana mengkhianati segala peruntukan undang-undang berkaitan bahasa termasuk Perkara 152 tersebut.

Malah bagi penulis, pemansuhan PPSMI secara “soft-

landing” telah memberi ruang yang amat besar untuk pemansuhannya dilengah-lengahkan dan DLP (bagi penulis ini ialah “PPSMI II”) mencuri ruang dan peluang, dilaksana dan PPSMI 3 pula disaran oleh Pakatan Harapan?.

Sampai bilakah pelajar di Malaysia mahu dijadikan tikus putih dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dipermainkan di negaranya sendiri selama 60 tahun?

Malulah kepada bangsa besar dan kecil yang lain seperti Belgium, Finland, Denmark, Norway, Belanda, Itali, Rusia, Jerman, Rusia, Kofea, Jepun dan China.

Semuanya berbangga menggunakan dan maju dengan bahasa sendiri tanpa menjadi umang-umang.

Ya, memang England, Amerika, Australia dan New Zealand maju dengan bahasa Inggeris. Tetapi butakah kita semua mereka itu bangsanya apa?.

Inilah akibatnya apabila pemimpin negara banyak yang tidak menghayati sejarah, lupa sejarah, lupa akan kepentingan jati diri dan maruah bangsa dan negara dan hanya mengutamakan ekonomi atau bertuhankan wang ringgit semata-mata.

Matlamat menghalalkan cara. Rukun Negara yang lima pun hanya sekadar hafalan atau tempelan di kertas. Rukun pertama pun banyak yang tidak ambil kisah. Rukun kedua pun sudah ada yang tidak lagi menghormati sultan dan rajanya. Akta dalam perlembagaan (152) juga dilanggar tanpa segan silu. Kedaulatan undang-undang juga dicabul oleh orang bergelar dan tiada gelar.

Kesopanan dan kesusilaan sudah tiada harga lagi. Di jalan raya, samseng jalanan dan yang bukan samseng pun kadang-kadang tidak dapat dibezakan apabila stering sudah di tangan. Apatah lagi nilai murni yang lain, keperibadian bangsa, adat ketimuran dan Islami dipandang enteng sahaja.

Banyak orang lupa bahawa bangsa Jepun menjadi besar dan agung bukan kerana faktor ekonomi semata-mata tetapi pegangan nilai peribadi yang kukuh dan budayanya yang diwarisi sejak beratus-ratus tahun dan diaplikasi dalam segala ranah kehidupannya yang moden.

Sebagai analogi masih dapat kita lihat seorang gadis Jepun dalam kimononya yang begitu menawan berjalan dengan tertib dalam “shinkansen” (keretapi peluru) yang meluru dengan kelajuan lebih 300 kilometer sejam di Tokyo. Dapatkah lagi kita lihat seorang gadis Melayu berbaju kurung pesak, bertudung litup dalam transit rel ringan (“TRL/LRT) 90kmj menuju ke Bukit Bintang atau Midvalley, atau yang dapat ditemui hanya si gadis bertudung yang terkinja-kinja di sebuah kelab malam di sana?

Semoga tiada pemimpin kita seperti gadis yang terkinja-kinja itu.

(Catatan PLM:.. telah dihantar kepada Berita Harian dan Harakah, tidak tersiar)

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.