Perkasa harap kerajaan baharu tidak iktiraf UEC

KUALA LUMPUR 20 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berharap Kementerian Pendidikan yang akan diterajui oleh Dr. Maszlee Malik tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk digunakan dalam mana-mana urusan kemasukan ke institusi pengajian tinggi atau tujuan lantikan perjawatan kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, hal demikian ini kerana peperiksaan untuk sijil tersebut tidak menggunakan kurikulum kebangsaan serta pengajaran dan pembelajaran adalah sepenuhnya dalam bahasa Mandarin.

“Mengiktiraf UEC adalah melanggar Akta Pendidikan 550 yang hanya mengiktiraf pendidikan yang berteraskan kurikulum kebangsaan.

“Selain itu, Perkasa berharap kedaulatan bahasa Melayu dapat diperkukuh dalam semua aspek pengajaran dan pembelajaran dari sekolah rendah hinggalah ke universiti. Melalui pendidikan, bahasa Melayu akan terus dijulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.