‘Harap Dr Maszlee martabatkan bahasa Melayu’

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang memulakan tugasnya hari ini memikul tanggungjawab besar dalam memartabatkan bahasa Melayu selain memperkukuhkan budi pekerti bagi memacu institusi pendidikan negara ini.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, dalam mengejar kemajuan, aspek seumpama itu tidak boleh diketepikan, sebaliknya perlu mula diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat rendah.

“Diharapkan Dr Maszlee dapat memartabatkan bahasa Melayu di samping tidak mengetepikan amalan budi pekerti insan,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Di samping itu, Rais berkata, dalam memupuk perpaduan di Sekolah Kebangsaan, mata pelajaran lain seperti bahasa Mandarin, Arab dan Tamil perlu diberikan pilihan kepada pelajar.

Sementara itu Rais berkata, warga UIAM merakamkan ucapan tahniah ke atas pelantikan Maszlee.

“Ia suatu pencapaian membanggakan buat universiti. Sebagai Presiden UIAM, saya amat berbangga kerana beliau adalah antara pensyarah yang sangat berdedikasi dan disanjungi dalam kalangan pelajar dan rakan pensyarah,” katanya.

Ucapan tahniah turut dizahirkan Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin.

Zaleha berkata, Maszlee cukup dikenali dan disenangi ramai, malah turut berperanan sebagai ahli akademik yang mampu mengutarakan pelbagai idea baharu dalam usaha melaksanakan reformasi pendidikan negara.

“Kami mendoakan beliau terus komited dalam memikul amanah baharu ini serta memartabatkan pendidikan serta Kementerian Pendidikan.

“Kami bersedia untuk memberikan sokongan padu kepada Dr Mazlee dan Kementerian berkenaan,” katanya.

Maszlee berpengalaman 18 tahun sebagai pensyarah di UIAM bermula tahun 2000 termasuk menjadi pensyarah dalam bidang Sains Politik di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

Beliau turut menulis buku berkaitan tadbir urus kerajaan dan institusi, malah pernah dilantik sebagai Presiden Kakitangan Akademik UIAM selama dua penggal bermula 2012 hingga 2015.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.