Kamus Melayu 387 tahun

Seremban: “Saya yakin ini kamus Melayu lengkap dan tertua di dunia kerana dikeluar dan diterbitkan pada 1631 iaitu lebih 387 tahun lalu,” kata pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) Wan Ahmad Arshad.

Pengkaji sejarah dan pemburu barang antik itu berkata, kamus berkenaan diperolehnya daripada seorang peniaga antik di Perak dua bulan lalu.

Dia yang berkecimpung dalam bidang itu lebih 41 tahun berkata, kamus Malay-Latin itu mengandungi 10,000 perkataan bahasa Melayu lama disusun Sarjana Inggeris Davidis Heax dan diterbitkan pada 1631 di Rome, Itali.

“Naskhah itu dikenal pasti adalah kamus bahasa Melayu tertua setakat ini.

“Walaupun dalam sejarah kamus bahasa Melayu pernah terdapat kosa kata yang disusun seorang yang bernama Pegafatta pada 1522, tetapi susunan itu hanya mengandungi 460 patah perkataan.

“Ia dipercayai digunakan hanya untuk pedagang rempah-ratus dalam aktiviti dagangan masyarakat terdahulu. Berbeza dengan kamus disusun Heax ini kerana ia mengandungi 10,000 patah perkataan bahasa Melayu lama dan lebih lengkap.

“Saya yakin dan percaya kamus itu dijadikan sumber rujukan utama masyarakat terdahulu dan sebagai sumber tamadun awal orang Melayu,” katanya di sini, semalam.

Wan Ahmad berkata, dia menyedari mengenai usia kamus berkenaan kerana terdapat tarikh penerbitannya di luar kulit naskhah itu.

Menurutnya, kamus Melayu yang dikatakan memenuhi ciri kamus ialah kamus Melayu-Inggeris sebelum penemuan kamus berkenaan.

Katanya, pihaknya berpendapat kamus berkenaan sangat berharga kerana usianya 387 tahun dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi yang menggambarkan tamadun dan budaya Melayu terawal.

“Saya mempelawa pengkaji bahasa Melayu untuk menjalankan kajian ke atas naskhah ini kerana percaya ia satu-satunya yang terdapat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad mendakwa dia turut memiliki ratusan barang purba termasuk koleksi manuskrip dan artifak tamadun Melayu Islam yang diperoleh dari dalam dan luar negara termasuk manuskrip Syair Siti Zubaidah tulisan tangan berusia 171 tahun.

Menurutnya, koleksi lain yang dalam simpanannya ialah foto klasik bangunan dan landskap bandar raya utama dunia seperti London, Paris, Berlin, Brussels, New York, California, Melbourne, Beijing, Tokyo dan New Delhi selain bangunan di negara ini serta mata wang dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 8:01 AM

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.