Melayu kelas pertengahan perlu bantu generasi seterusnya – Abim

SHAH ALAM: : Golongan pertengahan Melayu yang dilahirkan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu membantu generasi seterusnya supaya lebih berdaya saing, kata Presiden Angkatan Belia Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim.

Menurutnya, apa yang berlaku hari ini, golongan tersebut tidak bertindak seperti bangsa lain yang membantu generasi seterusnya.

“Banyak di kalangan kita yang telah berjaya bukan nak membantu yang di bawah tetapi nak menambah lagi kekayaan kita.

“Ini beza dengan bangsa Tionghua contohnya, kalau mereka dapat biasiswa untuk menjadi doktor, mereka akan berusaha membantu untuk lahirkan seorang lagi doktor,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Malaysia Baharu: Di Mana Melayu?’, pada Selasa.

Mohamad Raimi juga berpendapat orang Melayu perlu bersaing secara sihat dengan bangsa lain tidak kira menerusi parti politik atau badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau juga menegaskan Abim menghormati hak kebebasan bersuara dan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati hak mana-mana pihak menyatakan pandangan menerusi demonstrasi selagi ia memenuhi lunas undang-undang.

Selain itu, beliau berharap kepimpinan Melayu tidak hanya dilihat dari sudut kuantiti dan juga posisi kekuasaan sebaliknya perlu melihat kepada kualiti kepimpinan.

“Kualiti yang saya maksudkan ialah dari segi membawa isu, tidak kira ia merupakan isu melibatkan agenda Melayu.

“Tetapi pada saya, yang lebih mendesak dan penting ialah isu ekonomi orang Melayu, yang mana, pada saya, ia merentas parti politik,” katanya lagi.

Selain itu, beliau mendesak semua NGO Melayu dan Islam untuk turut sama menyumbang ke arah proses reformasi yang sedang dilakukan oleh kerajaan PH.

Manakala bagi Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, isu kedudukan orang Melayu dalam era pemerintahan PH perlu dilihat dari segi falsafahnya.

“Siapa itu Melayu? Dalam perlembagaan kita, ditakrifkan Melayu itu beragama Islam, berbahasa Melayu, mengamal adat dan budaya Melayu. Tetapi sebenarnya, Melayu itu lebih besar dari takrif yang diberikan oleh perlembagaan.

“Sejarah orang Melayu bukan bermula pada 1948. Sejarahnya bermula lebih panjang dari itu. Melayu itu bukan sekadar bangsa, tetapi ia sebuah peradaban,” katanya.

Katanya, apabila disebut ketuanan Melayu ia berkaitan dengan latar sejarah yang panjang mengenai peradaban Melayu.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.