Melayu dalam peta-peta lama

Kurun ke-19 merupakan alaf berlakunya pengembangan dengan disiplin ilmu geografi yang pesat, selain tertubuhnya beberapa buah persatuan geografi serta ilmu itu diajar sebagai subjek di universiti.

Seawal yang diketahui, nama Malaysia mula diperkenalkan oleh seorang pelayar berbangsa Perancis iaitu Jules Dumont d’Urville (1790-1842) yang berlayar ke kepulauan Pasifik pada 1826.

Itupun selepas saya bersembang dengan Prof Murad Merican seusai sesi perbincangan kami di tengah kota raya Kuala Lumpur pada suatu hari.

Kami sedang menyiapkan kajian tentang kesedaran sejarah tanah air.

Untuk itu kami bertemu, berbincang dan berdebat dengan ramai orang. Dari Kuching hingga ke Putrajaya. Banyak yang dapat kami pelajari daripada perbincangan dengan mereka.

Penyelia penyelidikan saya orang warga Palestin yang mempunyai kerakyatan UK. Dalam biliknya terdapat banyak gulungan peta lama.

Antara sebab beliau menyimpan peta itu adalah untuk tujuan rujukan sejarah bagaimana sesebuah wilayah atau kawasan mengalami perubahan sempadan politik.

Peta itu penting

Beliau menyimpan banyak peta Palestin daripada pelbagai sumber.

Palestin itu sendiri adalah negara yang ‘kehilangan peta’. Sebuah buku lama milik saya World Atlas Nelson yang diterbitkan sekitar 1920-an melakarkan peta Palestin.

Pada masa itu tiada lagi negara yang bernama Israel.

Namun jika disemak pada Google map sekarang nama Israel itu tertera di carian utama. Inilah pentingnya peta.

Kembali kepada kisah Malaysia. Pada 1831, pelayar Perancis itu telah mengemukakan kepada Societe de Geographie tiga istilah iaitu Malaisia, Micronesia dan Melanesia untuk membezakan budaya di pulau-pulau di Polynesia.

Bagi Dumont d’Urville, istilah “Malaisia” merangkumi keseluruhan kawasan Kepulauan Melayu (Nusantara) yang pada hari ini meliputi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina.

Yang menariknya, peta itu tidak memasukkan Semenanjung Tanah Melayu ke dalam Malaisie!

Pelayar itu juga menyebut Ocenia et Malasia. Dumont d’Urville (gambar) mengembara ke selatan dan barat lautan Pasifik, Australia, New Zealand dan Antartika.

Beliau adalah seorang botanis, ahli kartografi yang memberikan beberapa nama tumbuhan, hidupan, tempat dan dia sendiri menamakan sebuah pulau dengan namanya, D’Urville Island.

Istilah “Malaisie” kemudian diinggeriskan menjadi “Malaysia” oleh seorang ahli geografi Amerika, Thomas G Bradford pada 1835.

Peta itu terdapat di David Rumsey Historical Map Collection atas tajuk Further India or Chin India and N.W. Oceanica or Malaysia.

Tidak dapat dipastikan sama ada wujud pertalian perkongsian pengetahuan di antara Bradford dengan Dumont d’Urville.

Terdapat satu peta lakaran Alexander Keith Johnston FRGS (AK Johnston) di dalam buku National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography terbitan 1845 yang mencatatkan istilah Malaysia.

Tajuk peta itu adalah South Eastern Peninsula and Malaysia.

Beliau seorang karografi dan ahli geografi yang berasal dari Scotland. Bukunya menghimpunkan peta-peta seluruh dunia yang menjadi rujukan bukan sahaja kepada ahli geografi tetapi turut dimanfaatkan dalam bidang ketenteraan dan politik.

Di dalam peta itu, Kepulauan Melayu merujuk kepada kawasan Sumatra, Tanah Jawa, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei, Timor dan Filipina.

Keluasan kepulauan Melayu dikatakan mencecah 2 juta kilometer persegi dengan lebih daripada 25,000 pulau di dalamnya.

Malaysia juga merujuk kepada kaum Melayu di kepulauan tersebut yang mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan juga menjadi peneroka pertama di Tanah Melayu.

Ini berdasarkan kepada nota di dalam peta tersebut; “….the group (the Malay peninsula and the malay archipelago) has been named Malaysia from the Malays who are the dominant race in the archipelago….” .

Pada 2014, saya menulis sebuah puisi yang bertajuk Warkah Sang Pencinta Dunia dan diterbitkan dalam sebuah antologi puisi yang bertajuk Tanah Tanpa Peta.

Antalogi ini diterbitkan bagi tujuan mendapat dana membantu misi kemanusiaan di negara-negara umat Islam yang bergolak.

Pergolakan politik tidak berhenti setakat persoalan politik semata-mata tetapi ia mencetuskan pergolakan kemanusiaan dan ketamadunan.

Pergolakan politik mengubah garis sempadan politik dan memungkinkan sesebuah negara kehilangan petanya sendiri.

Peta bukan sekadar satu lakaran dan lukisan tetapi ia adalah kekuasaan dan kedaulatan. Sama seperti nama sesebuah daerah atau negara. Nama itu adalah kedaulatan dan kekuasaan.

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.