Lantik penasihat pendidikan berjiwa kebangsaan, pejuang bahasa

KUALA LUMPUR: Keanggotaan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) perlu dikaji semula supaya lebih seimbang dengan membabitkan pakar pendidikan berjiwa kebangsaan dan wakil pejuang bahasa.

Profesor Emeritus Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Isahak Haron, berkata keanggotaan dalam MPPK perlu lebih seimbang bagi memastikan tiada percubaan menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Isahak berkata, MPPK perlu dianggotai tokoh yang berpengalaman dalam hal ehwal pendidikan negara dan bukan hanya individu mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik.

“Bukan hanya empat juta pelajar di negara ini menjadi mangsa kepada pelaksanaan dasar PPSMI, malah 70 hingga 80 peratus pelajar sekolah kebangsaan kurang memahami konsep Matematik dan Sains kerana terpaksa mempelajarinya dalam bahasa Inggeris ketika dasar itu diperkenalkan.

“Kesannya kini, pelajar kita lemah dan semakin negatif serta tidak menyukai kedua-dua subjek itu, malah peratusan yang mengambil aliran Sains dan Matematik di Tingkatan Empat dan Lima juga menurun daripada 43 peratus kepada 20 peratus.

“Jawatankuasa ini akan menjadi penasihat kepada menteri. Ia mesti dianggotai mereka yang mengetahui hal ehwal dan dasar pendidikan negara serta kemajuan untuk pembelajaran pelajar sama ada dalam Matematik, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan subjek lain,” katanya kepada BH di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai pelantikan MPPK yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan turut dianggotai Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Timbul kerisauan

Turut dilantik, Pengerusi Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon sebagai Timbalan Pengerusi MPPK, selain Datuk Satinah Syed Saleh, Datuk Dr Sukiman Sarmani, Brigadier Jeneral Datuk Yusri Anwar dan Prof Dr Ruzita Mohd Amin sebagai ahli.

Pelantikan Noor Azimah menimbulkan kerisauan tokoh bahasa yang khuatir wujud ketidakseimbangan dalam isu pendidikan apatah lagi dengan kecenderungannya lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu serta penyokong kuat pelaksanaan PPSMI.

Sementara itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pendidikan negara mesti berteraskan pembinaan sahsiah dan jati diri dengan karakter kebangsaan memiliki semangat dan jiwa kebangsaan. Katanya, penekanan terhadap bahasa Inggeris semata-mata akan meruntuhkan jiwa dan semangat kebangsaan itu.

“GAPENA khuatir agenda PPSMI dan Program Dwibahasa (DLP) akan dipertegaskan semula Kementerian Pendidikan.

“Saya tidak pasti apakah konsep pendidikan kebangsaan itu sama seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan yang asas kebangsaannya bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan atau mungkinkah akan ditukar,” katanya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.