Pandangan ragui bahasa Melayu tidak berasas

SERDANG: Pandangan yang tidak meyakini bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pengantar sains serta teknologi tidak berasas kerana sudah banyak buku mengenai bidang berkenaan diterbitkan dalam bahasa berkenaan sejak 1980-an.

Pensyarah Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud, berkata kebanyakan universiti awam (UA) juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Bagaimanapun usaha memartabatkan bahasa Melayu yang dibuat sejak merdeka terutama dalam bidang pendidikan, tiba-tiba dihentikan dan digantikan dengan bahasa Inggeris tanpa berpandukan sebarang kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum sempena Seminar Mendaulatkan Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Meniti Era Revolusi Industri Keempat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Forum yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mustar itu, disertai bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin.

Wan Ramli berkata, keadaan itu lebih mencabar apabila dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada 2003.

“Bagaimanapun kajian yang dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan kajian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2007 menjelaskan kemerosotan peratus penguasaan subjek Sains dan Matematik selepas PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu tidak diterima sepenuhnya, sebaliknya Program Dwibahasa (DLP) pula diperkenalkan, sekali gus dianggap oleh pejuang bahasa sebagai roh PPSMI.

“Kita ialah negara merdeka yang sepatutnya menggunakan bahasa sendiri termasuklah dalam sains dan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, bahasa Melayu kekal relevan dan penting, justeru usaha untuk meningkatkan martabatnya perlu dibuat dengan menambah penerbitan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

“Kosa kata dan istilah dalam bahasa Melayu juga perlu ditambah dengan mengambil daripada bahasa daerah tanpa perlu mencedok daripada bahasa Inggeris.

“Perjuangan untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu itu penting tetapi tidak bermaksud bahasa Inggeris dikebelakangkan,” katanya.

Majlis perasmian penutup seminar anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama UPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.