Isu papan tanda di Muar tiada elemen perkauman, kata exco

Kerajaan Johor menafikan wujud sebarang unsur perkauman di sebalik arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mengarahkan papan tanda menggunakan aksara Cina diturunkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor Tan Hong Pin berkata isu itu berlaku kerana Majlis Perbandaran Muar terikat dengan peraturan digubal BN sejak 12 tahun lalu.

Katanya ia melibatkan undang-undang mengenai saiz iklan yang tidak menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda di kawasan berkenaan.

“Isu ini kelihatan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan bertindak zalim terhadap kaum tertentu.

“Pertama, saya haram kemelut ini tidak menjadi isu perkauman kerana ia melibatkan pegawai penguat kuasa yang perlu menjalankan tugas dan ia dibuat tanpa sebarang niat buruk,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Tan mengakui penguatkuasaan undang-undang itu boleh menyebabkan warisan lama yang ada di Muar terhapus.

Kaanya, kerajaan negeri akan mengeluarkan pekeliling serta garis panduan baru mengenai papan tanda untuk semua PBT di Johor.

Menurut Tan ia akan mengambil kira faktor bahasa kebangsaan serta unsur sejarah dan warisan.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar Mustaffa Kamal Shamsudin berkata isu itu timbul apabila banyak pemilik kedai mempamerkan papan tanda melebihi apa yang mereka pohon kepada PBT terbabit.

Katanya keadaan itu menyebabkan Majlis Perbandaran Muar mula mengenakan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengelakkan wujud sebarang percanggahan semasa proses audit.

Katanya jumlah lesen untuk papan tanda yang dikeluarkan untuk premis perniagaan sepatutnya seimbang dengan jumlah papan tanda dinaikkan.

“Pada 2006 exco kerajaan ketika itu mengeluarkan garis panduan supaya saiz semua huruf bukan bahasa Melayu tidak boleh melebihi tiga per empat huruf bahasa kebangsaan.

“Ia kemudian diikuti dengan pelesenan undang-undang kecil pada 2011 yang membawa kepada keluarga pekeliling oleh kerajaan negeri.

“Jadi kami mula mengeluarkan notis (kepada kedai-kedai) bagi mengelak ia diaudit dan dipersoalkan mengapa kami tidak menguatkuasakan bayaran pelesenan pengiklanan dan menguatkuasakan peraturan saiz huruf itu,” katanya yang turut hadir pada sidang media berkenaan.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Comments are closed.