Melalui wawancara satu ketika dahulu dalam sebuah akhbar mingguan, mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir menyatakan rasa kesalnya terhadap pemansuhan PPSMI. Katanya dengan pemansuhan tersebut dikhuatiri pelajar bukan bumiputera tidak berminat lagi untuk belajar di sekolah kebangsaan yang akan mengakibatkan hubungan kaum akan renggang memandangkan mereka akan belajar di sekolah pelbagai aliran. Kenyataan Tun tersebut dikhuatiri diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu yang masih berusaha dan menyebar pemikiran yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai “bahasa perpaduan” bagi bangsa-bangsa di negara ini. Kenyataan dan pemikiran sebegini sama sekali tidak dapat diterima bagi negara ini apatah lagi bagi konsep Satu Malaysia yang antara terasnya yang amat penting ialah satu bahasa sebagai bahasa perpaduan di samping bahasa-bahasa bangsa atau kaum lain di negara ini tidak dihalang, malah perlu digalakkan untuk dipelajari oleh semua bangsa. Sejarah negara sebelum merdeka dan awal pascamerdeka perlu dihayati oleh semua bangsa yang mendiami negara ini.

Sejak mencapai kemerdekaan malah hatta sebelum merdeka lagi bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan sehari-hari antara kaum yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu. Lihat saja paparan watak seperti yang digambarkan oleh Seniman Agung P.Ramlee lewat filemnya. Watak “Apek, Cheti, Benggali” begitu bersahaja menggunakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam bentuk bahasa pasar, malah juga dalam bahasa yang begitu baik semasa berbual. Inilah jati diri bagi negara ini dan yang perlu dipertahankan sejak dulu, kini dan selama-lamanya, bukannya mengambil satu bahasa dari negara lain untuk bersama-sama memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan apatah lagi jika untuk mengambil alih peranan bahasa Melayu tersebut sebagai bahasa ilmu di samping bahasa perpaduan. Mungkin sebelum merdeka bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan orang Melayu. Tetapi selepas merdeka, jelas ternyata bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara Malaysia dan pastinya bagi semua warganegara tanpa mengira bangsa atau kaum.

Berdasarkan sejarah negara ini, tidak ada bahasa lain yang lebih layak dan mampu menjadi bahasa perpaduan selain bahasa Melayu. Bahasa Melayu satu-satunya bahasa yang benar-benar “merakyat” dari Padang Besar di utara semenanjung ke Tanjung Piai di selatan Johor, dari kawasan pedalaman Hulu Tembeling ke Ba Kelalang di Sarawak dan Pulau Sebatik di Sabah. Bahasa Melayu difahami oleh Rozie di Bukit Damansara, Pak Teh Ucu di Gua Musang dan adik Balan Sing di Kapit Sarawak berbanding bahasa Inggeris yang dijadikan bahasa asing yang terpenting di negara ini. Justeru bahasa Melayu perlu kita junjung dan bahasa Inggeris perlu dikendung. Janganlah pula kita jadikan sebaliknya terutama dalam amalan seharian.

Kamal Shukri Abdullah Sani
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia