KONFLIK PEMIKIRAN DIKALANGAN CENDIAKAWAN: KEUTAMAAN BM & KEPENTINGAN BI

Dato Dr. Hasan Mad | 19 Jamadilawal 1441H
Salah satu punca pertembungan diantara para pejuang BM dengan penggerak sekolah
vernakular ialah kerana mereka itu enggan menerima tulisan jawi sebagai salah satu
dari dua tulisan bagi BM. Ada banyak lagi punca pertembungan dengan puak-puak
kiasu itu.
 
Bila sah akan hasrat Tun M menerajui Kementerian Pendidikan, sekalipun sekadar
sebagai pemangku sementara, para pendidik sudah mula mencongak kemungkinan
beliau akan melaksanakan semula PPSMI. Ramai yang bimbang tapi ramai juga yang
mula mengukir senyum. Mulalah berduyun-duyun para pejuang bahasa kembali ke
medan tempur, untuk bertembung sekali lagi mengenai bahasa mana yang wajib
diutamakan untuk pendidikan.
 
Masing-masing mula berhujah panjang lebar, tegar dengan pendiriannya, samada tegar
sebagai sehelai benang yang basah atau berhujah dengan kebijaksanaan. Saya juga
mula gatal tangan untuk menulis. Saya tak peduli di mana sudahnya tulisan saya ini
akan disiarkan. Agaknya habis jauh ia sekadar menjadi rencana untuk bacaan
beberapa kerat Melayu seperti saya, dikalangan sekutu di MPM.
 
Saya bukan pakar bahasa maka penulisan saya mengenai konflik BM-BI ini bukan dari
sudut kepakaran, sekadar kefahaman sebagai seorang anak Melayu bersekolah aliran
Melayu hingga ke tingkatan 5 tapi diberi peluang oleh negara untuk melanjutkan
pelajaran menimba ilmu hingga ke peringkat sarjana lanjutan, di luar negara. Selepas
itu berpeluang pula beberapa kali melawat ke luar negara atas urusan rasmi, bisnes
mahupun urusan peribadi.
 
Saya tak nak berhujah berjela-jela, bosan membacanya. Saya lontarkan beberapa
teladan untuk disingkap muslihatnya. 
 
Sekitar tahun 1987, saya terpilih menjadi tetamu kepada JICA selama 6 minggu,
melawat Jepun dan mengikuti beberapa program yang disediakan untuk kami. Satu dari
perkara yang menakjubkan saya di JICA ini ialah terdapatnya 62 makmal bahasa asing,
satu makmal bagi satu bahasa di dunia ini. Ia digunakan bagi pastikan di JICA terdapat
mereka yang pakar dalam satu satu bahasa itu. Ia juga digunakan bagi lain-lain
keperluan.
 
Saya kaitkan cerita di JICA itu dengan insiden ini. Baru-baru ini Duta Besar Jepun ke
Malaysia menyampaikan ucapselamat sempena Tahun Baru 2020 kepada rakyat Malaysia, dalam Bahasa Melayu. Soalan saya, adakah ucapan beliau itu dalam Bahasa
Melayu memberikan kita semua satu petunjuk, atau sekadar beliau ingin menunjuknunjuk? Bagi saya, beliau itu diwajibkan menguasai BM ‘on needs basis’
 
Berbalik kepada lawatan kami tajaan JICA itu, pegawai pengiring kami tidak sepatah
pun bercakap dengan kami dalam Bahasa Melayu. Kami bertanggapan beliau tidak
fasih berbahasa Melayu dan hanya tahu bahasa ibundanya saja. Bila beliau mewakili
pihak JICA berucap di Kedutaan Malaysia di Tokyo, dalam bahasa Melayu (loghat
Indonesia) dengan begitu sempurna sekali, kami terkejut. Soalannya, mengapa perlu
beliau berlakon begitu rupa kepada kami. Kenapa tidak sejak awal lagi beliau tunjukkan
kepada kamia beliau boleh bertutur dalam BM? Andaian saya, beliau menguasai tapi
hanya perlu bertutur dalam BM ‘on needs basis’.
 
Jun tahun lepas, saya berkunjung ke Chengdu, Sichuan, China, atas undangan
Kerajaan Chengdu. Dihari pertama kami diatur untuk mengadakan kunjung hormat
berjumpa Datuk Bandar Chengdu, seorang wanita. Sepanjang pertemuan itu kami
berinteraksi dengan beliau dengan bantuan juru-bahasa (BI) dan tak sepatah pun
perkataan asing beliau lapazkan.
 
Oktober tahun lepas, selang 4 bulan kemudian, beliau mengetuai delegasi pegawai dan
usahawan Chengdu melawat Kuala Lumpur. Dalam ucapan rasmi beliau sempena
upacara memeterai beberapa perjanjian bisnes diantara Chengdu dengan Kuala
Lumpur, tak sepatah pun perkataan mandarin digunakan. Bahasa Inggeris dan loghat
penyampaiannya begitu sempurna, rupa-rupanya beliau adalah pemegang ijazah
master dalam bidang political economics dari University of Oxford, England. Sekali lagi
saya tanya dari saya apa tujuannya semua lakonan beliau itu?
 
Jika orang China dan orang Jepun tahu bila nak mengutamakan bahasa ibunda mereka dan bila perlu menggunakan bahasa lain, berdasarkan keperluan (on needs basis), mengapa sukar sangat cendekiawan kita nak bezakan bila BI itu penting dan bila BM itu wajib diutamakan. 
 
Adakah kecendekiawanan kita sekadar untuk berlaga angin menegakkan benang yang semakin basah. Atau adakah kita belum cukup bijaksana menilai mana yang wajib dan yang mana diperlukan. Atau, tak tahu di mana letaknya bahasa sebagai sebagai tiangseri budaya dan tamadun. Atau, adakah ketegaran kita sama seperti para penggerak sistem pendidikan vernakular
 
 
Dato Dr Hasan Mad Setiausaha Agung MPM
 
19 Jamadilawal 1441H