Najib nasihat MCA utamakan bahasa Melayu

BANGI, 18 Rejab 1441H, Jumaat – Datuk Seri Najib Razak yang lantang mengkritik Pakatan Harapan – hari ini berubah angin memberi nasihat kepada sekutu partinya, MCA supaya mengutamakan bahasa Melayu di laman sosial.

“Nasihat saya kepada MCA ialah untuk mengutamakan hantaran versi Bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum memuat naik versi Cina.

“Teguran saya kepada PH pula ialah jangan memainkan sentimen rasisme dengan cubaan menipu korang,” katanya menerusi status Facebook petang tadi.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada pemimpin parti perkauman MCA yang dilantik ke jawatan Kabinet, tetapi masih menggunakan bahasa Cina dalam laman sosial mereka.

Dilaporkan, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dr Mah Hang Soon telah memuat naik hantaran dalam bahasa Cina di akaun Facebook beliau, sempena hari pertamanya bekerja di kementerian itu, semalam.

Bagaimanapun beliau dikritik dan ditegur netizen supaya mengutamakan bahasa Malaysia berbanding bahasa Cina dalam hantarannya di Facebook.

Mengulas situasi itu, Najib yang masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkata, ada beberapa pemimpin Melayu PH cuba menipu rakyat bahawa pemimpin MCA yang dilantik menteri hanya membuat hantaran dalam bahasa Cina dan mengabaikan Bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Pekan itu percaya tuduhan ke atas pemimpin MCA berkenaan tidak adil.

“Amalan kebanyakan pemimpin MCA ialah untuk menggunakan dua page FB berlainan – satu untuk Bahasa Melayu-English dan satu untuk Bahasa Cina.

“Biarpun kadang-kala ada perbezaan waktu semasa membuat posting, kebanyakkan posting mereka dibuat dalam kedua-dua bahasa. Melayu dan Cina dalam ‘page’ masing-masing,” katanya.