JKPBK

Presiden PLM telah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JKPBK) dan dalam mesyuarat pertama pada 30 November 2010 di Parlimen Malaysia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin, PLM telah diwakili oleh Timbalannya, Saudara Kamal Shukri Abdullah Sani. Tugas utama JKPBK untuk:

  • Memastikan agar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara,
  • Memantau penggunaan bahasa kebangsaan di semua jabatan dan agensi kerajaan dan sektor berimpak tinggi dan
  • Mempertimbangkan cadangan dan syor daripada jawatankuasa kecil agar semua matlamat dan dasar bahasa kebangsaan terlaksana.

Keanggotaan JKPBK terdiri daripada:

  • YB Timbalan Menteri Pelajaran,
  • Ketua Pengarah DBP,
  • Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
  • Ketua-ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan
  • Gabenor Bank Negara,
  • Datuk Bandar Kuala Lumpur,
  • Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional,
  • Presiden Persatuan Linguistik Malaysia,
  • Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia,
  • Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia,
  • Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia,
  • Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia,
  • YBhg Dato’ Dr. Hassan Ahmad (Tokoh Bahasa) dan
  • Profesor Dr. Teo Kok Seong (Pakar Bahasa)

Sebanyak enam jawatankuasa kecil (JKK) ditubuhkan iaitu:

  • JKK Pelaksanaan BK Sektor Perkhidmatan Awam
  • JKK Pelaksanaan BK dalam Media Penyiaran dan Komunikasi
  • JKK Pelaksanaan BK di Tempat Awam
  • JKK Pelaksanaan BK Sektor Pendidikan
  • JKK Pelaksanaan BK Sektor Perdagangan dan Kepenggunaan
  • JKK Pelaksanaan BK sektor Kewangan dan Insurans

PLM dilantik menganggotai JKK Pelaksanaan BK Sektor Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia dan diurus setia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Tugas atau peranan utama JKK tersebut ialah:

  • Melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan
  • Memantau penggunaan bahasa kebangsaan
  • Merancang program kebahasaan bagi mencapai matlamat pelaksanaan bahasa kebangsaan di kementerian dan agensi masing-masing
  • Melapor tahap pencapaian penggunaan bahasa kebangsaan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JKPBK)
  • Melapor permasalahan pelaksanaan bahasa kebangsaan kepada JKPBK.

PLM mengucap tahniah dan syabas kepada YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi JKPBK ini. Semoga bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merentas pelbagai bangsa, etnik dan kaum di Malaysia, bahasa bagi Satu Malaysia, akan terus terpelihara daripada segala unsur yang telah menggugat atau menyisih bahasa tersebut selama ini. Kejujuran dan kegigihan semua pihak yang meliputi semua kementerian, jabatan, agensi, sektor awam dan korporat ditagih tanpa kompromi bagi merealisasikan tugas JKPBK tersebut. Tempoh lebih 50 tahun sudah lebih daripada mencukupi untuk kita menangani rasa cinta, kasih dan megah akan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa kebanggaan negara Malaysia yang kita cintai ini.

Persoalan nilai ekonomi atau nilai rasa sepatutnya tidak dijadikan isu lagi kerana semua bahasa mempunyai nilai ekonomi dan nilai rasa yang tinggi selagi kita ikhlas dan bersedia untuk memberi nilai tersebut khususnya terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, merentas pelbagai bangsa dan kaum juga sebenarnya merupakan satu komoditi yang tinggi nilainya untuk digunakan dalam urusan antarabangsa, betapatah dalam urusan domestik sahaja yang banyak antara kita abaikan. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua ranah kehidupan harian di negara ini, dalam segenap bidang ilmu di universiti adalah petanda bahawa kita memang bermegah dengan bahasa negara sendiri dan memaksimumkan keupayaan bahasa Melayu.

Justeru mungkin banyak orang bertanya apakah pula gunanya mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris yang juga penting khususnya pada hari ini. Sudah tentu bahasa Inggeris mempunyai kepentingan tersendiri untuk dipelajari dan dikuasai misalnya bagi membuat rujukan, menimba ilmu dan seumpamanya, penggunaan di peringkat antarabangsa atau di luar negara. Tetapi yang pasti sudah tentu bukannya untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi urusan rasmi seperti surat-menyurat dan mesyuarat dalam kementerian atau jabatan negara ini atau perhubungan sesama rakyat Malaysia. Seperti yang pernah diujarkan oleh Profesor Teo Kok Seong, bahawa bahasa Inggeris dipelajari kerana kepentingannya dan bukan kerana “kekuasaannya”. Justeru Satu Malaysia juga bermakna satu bahasa rasmi, satu bahasa perpaduan, satu bahasa kebangsaan dan satu bahasa kebanggaan iaitu bahasa Melayu, milik semua warganegara dan bangsa di negara ini (dan bukannya milik bangsa Melayu sahaja), seperti juga bahasa-bahasa lain yang turut dimiliki oleh sesiapa sahaja yang mempelajari akan bahasa tersebut.

Kamal Shukri Abdullah Sani
Timbalan Presiden PLM

One Response to JKPBK

  1. Pingback: PLM dilantik menganggotai JKPBK