Sejarah

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) ditubuhkan pada tahun 1977 untuk menggalakkan pengkajian terhadap bahasa dan masalah-masalah bahasa di negara ini serta mengeratkan hubungan antara pengkaji dengan peminat bahasa.

Sejak ditubuhkan, PLM telah menyusun pelbagai kegiatan yang meliputi penerbitan, pertemuan ilmiah (seminar, persidangan, forum, ceramah, syarahan dan sebagainya), penyelidikan, perundingan serta kursus akademik dan profesional.

Dalam bidang penerbitan, PLM telah menerbitkan kira-kira 20 judul buku yang meliputi pelbagai tema dan isu serta jurnal ilmiah, iaitu Jurnal Linguistik. Dalam kegiatan yang berbentuk pertemuan ilmiah, PLM sering menganjurkan persidangan, seminar, bengkel, forum dan ceramah yang berkaitan dengan perkembangan teori linguistik dan juga yang berkaitan dengan isu-isu semasa bahasa dan sastera, seperti sebutan baku, pengajaran bahasa dan sastera serta isu dasar bahasa.

PLM telah mempelopori dan memperjuangkan beberapa isu bahasa yang penting, misalnya pembakuan bahasa, terutamanya pembakuan tatabahasa dan sebutan, pemupukan variasi bahasa Melayu tinggi dan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Dalam tahun 1980-an PLM giat mengendalikan kursus bahasa dan penulisan profesional pada setiap hujung minggu untuk pelbagai golongan profesional dan kini kursus-kursus tersebut dilaksanakan dalam rangka kursus dalam perkhidmatan di jabatan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sebanyak 10 modul kursus bahasa dan penulisan profesional disediakan untuk pegawai kerajaan, eksekutif swasta, editor, penulis dan peminat bahasa.

Dua kegiatan lain yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik ialah Hadiah Bahasa dan Forum Remaja. Hadiah Bahasa bertujuan untuk menggalakkan penulisan karya ilmiah yang bermutu dari segi bahasa dan isinya, dan penerima hadiah ini dipilih pada setiap tahun melalui karya ilmiah yang dihasilkan bagi tahun tertentu.

Hadiah Bahasa yang berlangsung selama lebih 10 tahun ditaja oleh Public Bank Berhad. Bermula pada tahun 1985, konsep ini diperluas kepada bahan-bahan ilmu untuk bacaan dewasa dan remaja. Kini PLM sedang berusaha mendapatkan penaja yang sanggup bekerjsama untuk meneruskan Hadiah Bahasa yang terhenti sejak beberapa tahun lalu.

Gabungan usaha sama antara PLM dengan badan-badan lain dapat dilihat juga pada projek Forum Remaja. Projek ini dijalankan sebagai usaha untuk menyediakan satu lagi model penggunaan bahasa baku bagi para pelajar di samping mengadakan peluang untuk mereka berhujah tentang pelbagai perkara.

Forum Remaja ini dianjurkan bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan. Antara yang pernah menjadi penajanya ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Satu lagi badan korporat yang pernah ikut serta dalam kegiatan kebahasaan anjuran PLM ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menerima undangan PLM untuk menjadi penaja kegiatan “Projek Khemah Bahasa Menghayati Kuala Lumpur” bagi pelajar-pelajar sekolah menengah dan juga beberapa syarahan tahunan dalam siri Syarahan Raja Ali Haji.

Rakan PLM dalam pengendalian sebahagian besar kegiatannya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kebanyakan pertemuan ilmiah anjuran PLM dilaksanakan bersama atau dengan kerjasama DBP.

Projek tahunan PLM – DBP ialah Khemah Remaja Pelbagai Kaum yang bertujuan memupuk perpaduan dan sekali gus menunjukkan keterampilan dalam bahasa, penulisan dan pengucapan awam. Pada tahun ini Syarahan Raja Ali Haji ke-17 yang dianjurkan oleh PLM mendapat kerjasama sepenuhnya daripada DBP.

Anak haruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan betahun-tahun.

Comments are closed.