Kalilah wa Dimnah sebagai Sebuah Naratif dalam Mendidik Masyarakat

  • Pabiyah Toklubok
  • Kamariah Kamarudin
  • Zaitul Azma Zainon Hamzah
  • Raihan Marzuki
Keywords: Kaliah wa Dimnah, Abdullah Ibn al-Muqaffa‟, al-Ghazali, naratif, tausiah

Abstract

Sesebuah karya lazimnya dihasilkan berdasarkan ilmu pengetahuan, latar belakang, pengalaman hidup, atau
imaginasi dan kreativiti seseorang pengarang. Karya yang bersifat cerita mempunyai elemen tertentu yang
membentuk karya tersebut seperti tema, watak, plot, latar tempat dan masa serta mesej yang ingin
disampaikan oleh pengarang. Mesej ini disampaikan sama ada secara implisit atau eksplisit bergantung pada
kreativiti setiap pengarang. Dari segi pembinaan watak, setiap pengarang mempunyai cara dan kreativiti
tersendiri. Penggunaan watak haiwan dalam sesebuah karya juga mempunyai tujuan tertentu dan memberikan
kesan yang berbeza. Sasterawan agung zaman Abbasiyah, Abdullah Ibn al-Muqaffa‟ menerusi karya beliau,
Kaliah wa Dimnah, menjadikan haiwan sebagai watak utama dalam pembinaan karya. Kajian ini bertujuan
mengenal pasti elemen naratif dalam Kalilah wa Dimnah serta menganalisis tausiah atau mesej penting yang
ingin disampaikan oleh pengarang. Bagi tujuan itu, sebanyak sembilan buah cerita daripada keseluruhan 16
buah cerita telah dipilih sebagai data. Kajian berbentuk kualitatif deskriptif ini menggunakan gabungan dua
pendekatan, iaitu teori Binaiyyah dan gagasan Imam al-Ghazali. Teori Binaiyyah digunakan untuk mengenal
pasti dan menganalisis elemen naratif dengan memfokuskan elemen tausiah atau mesej memandangkan
perkaitan erat antara elemen ini dengan kesan dalam mendidik masyarakat. Gagasan Imam al-Ghazali pula
diterapkan untuk menentukan nilai murni yang termuat dalam tausiah dalam membentuk akhlak mulia. Hasil
kajian menemukan empat tausiah utama berkaitan dengan pemerintahan dan persahabatan. Keempat-empat
tausiah ini ditujukan kepada khalayak pembaca sebagai panduan dalam mendidik dan membentuk masyarakat
ke arah kesejahteraan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Kata kunci: Kaliah wa Dimnah, Abdullah Ibn al-Muqaffa‟, al-Ghazali, naratif, tausiah.

Published
2021-11-12