Tahap Penguasaan Bahasa Melayu Remaja Malaysia: Analisis Aspek Tatabahasa
Abstract
Kertas ini menghurai dan menjelaskan tahap penguasaan bahasa Melayu remaja Malaysia dari segi aspek tatabahasa yang meliputi aspek pengimbuhan, pilihan kata dan ejaan. Penguasaan bahasa Melayu bermaksud kemampuan pelajar mengetahui, memahami, mengenal pasti dan menganalisis peraturan atau rumus yang mendasari sistem tatabahasa bahasa Melayu. Dalam kajian ini, tahap penguasaan bahasa diukur berdasarkan markah pencapaian pelajar dan dikategorikan kepada empat tahap, iaitu sangat memuaskan, memuaskan, kurang memuaskan dan tidak memuaskan. Dapatan kajian menunjukkan tahap penguasaan remaja Malaysia dalam aspek membina ayat adalah memuaskan (74.8%). Sebaliknya, penguasaan pelajar dalam aspek analisis kesalahan yang melibatkan imbuhan dan ejaan (56.9%) dan pilihan kata (64.1%) berada pada tahap kurang memuaskan. Walaupun tahap penguasaan pelajar memuaskan dalam aspek membina ayat, namun ada soalan yang tidak boleh dikuasai dan tahap penguasaan mereka kurang memuaskan. Misalnya, pelajar didapati tidak dapat membuat ayat yang gramatis dengan menggunakan kata terbitan bermuka-muka (54.7%) dan terkemuka (66.7%). Pelajar juga tidak dapat menguasai sistem ejaan dan analisis pilihan kata. Sehubungan itu, kertas ini cuba memberi penjelasan dari sudut linguistik kenapa para pelajar gagal menguasai aspek tatabahasa tersebut. Antara faktor dan punca penyebabnya ialah (i) pelajar terkeliru antara maklumat linguistik dengan maklumat pragmatik, dan (ii) pelajar terkeliru antara nahu preskriptif yang diajar di sekolah dengan nahu praktis yang diamalkan di luar sekolah.

