Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah

  • Zaitul Azma Zainon Hamzah

Abstract

Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu memberi penekanan kepada penguasaan kecekapan berbahasa dan pemahaman tentang sistem bahasa itu. Tujuannya supaya murid-murid dapat menggunakan bahasa untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, meningkatkan daya intelek, menguasai kemahiran belajar, dan nilai hidup yang murni. Bagi murid-murid Melayu, proses mempelajari bahasa Melayu merupakan satu aktiviti yang berbentuk pengayaan atau pengukuhan untuk membolehkan murid-murid menggunakan bahasa Melayu dalam aktiviti lisan, bacaan dan tulisan dengan berkesan. Bagi murid-murid bukan Melayu, mempelajari Bahasa Melayu merupakan satu proses penguasaan terhadap sistem bahasa Melayu. Namun, kini terdapat beberapa permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah yang turut menjejaskan prestasi murid-murid dalam peperiksaan setara seperti PMR dan SPM. Permasalahan yang timbul ini ada kaitannya dengan minat murid-murid terhadap Bahasa Melayu serta cara pembelajaran Bahasa Melayu yang stereotaip. Justeru, kertas kerja ini cuba mengenal pasti permasalahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang dihadapi oleh murid-murid di sekolah, mengenal pasti punca permasalahan dan menyenaraikan cadangan untuk memantapkan cara pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid sekolah menengah. Seramai 522 orang murid-murid sekolah menengah dalam kalangan murid-murid tingkatan 2 dan 4. dijadikan sampel kajian. Murid-murid ini dipilih daripada dua buah sekolah menengah di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Data kajian dianalisis secara kualitatif dan kuantitatif.

Published
2010-03-01