Remaja Malaysia dan Peribahasa Melayu

  • Nor Hashimah Jalaluddin
  • Junaini Kasdan

Abstract

Peribahasa Melayu merupakan alat yang dapat menggambarkan imaginasi puitis yang kaya dengan aspek retorik bukan sekadar bunga-bunga bahasa atau bahasa yang indah. Ia menggambarkan sistem konseptual sesuatu bahasa dan kepercayaan terhadap kebudayaan para penutur aslinya (Asmah Haji Omar 1996). Bagi memastikan kelestarian penggunaan peribahasa ini, ia perlu dipelajari dan dihayati. Walau bagaimanapun, ia sudah mulai meluntur dalam masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran peribahasa Melayu, khususnya dalam kalangan pelajar remaja, sekaligus memberikan penjelasan fenomena yang berlaku. Lebih daripada 1,500 pelajar remaja terlibat dalam kajian ini dan didapati hampir 60.0% (894) pelajar gagal menguasai kemahiran peribahasa. Melalui kajian ini dapat dibuktikan bahawa faktor sosial pelajar remaja mempunyai perkaitan yang signifikan dengan tahap penguasaan kemahiran tersebut. Hakikatnya, penguasaan bahasa Melayu pelajar remaja, yang berkaitan dengan makna tersirat masih lemah dan memerlukan perhatian yang serius.

Published
2010-03-01