Analisis Kefahaman Makna Peribahasa dalam kalangan Murid Berdasarkan Teori Relevans

  • Marriane Tang Nguik Hong
  • Nur Farahkhanna Mohd Rusli
  • Noor Syamshida Masa
  • Norfaizah Abdul Jobar
Keywords: Peribahasa, teori relevans, murid, tingkatan 1, tahap kefahaman

Abstract

Makalah ini bertujuan menjelaskan analisis kefahaman makna peribahasa dalam kalangan murid berdasarkan teori relevans (Sperber dan Wilson, 1986). Data kajian diperoleh melalui kaedah kepustakaan dan pemerhatian dengan bantuan ujian bertulis dan buku catatan. Informan yang dipilih merupakan 30 orang murid tingkatan 1 berbangsa Melayu, Cina dan India yang bersekolah di SMK Pendamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor. Dapatan kajian dianalisis berdasarkan Teori Relevans. Hasil kajian menunjukkan tahap kefahaman murid terhadap makna tiga jenis peribahasa Melayu, iaitu (i) ‘bagai menatang minyak yang penuh’, (ii) ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, dan (iii) ‘bagai melepaskan batuk di tangga’ adalah tinggi. Namun, terdapat juga murid yang sukar menjelaskan makna ketiga-tiga peribahasa tersebut. Teori relevans yang digunakan dalam analisis terdiri daripada tiga gagasan utama, iaitu konteks, kesan konteks dan usaha memproses. Hasil kajian menunjukkan faktor psikologi, persekitaran fizikal, andaian dan pengalaman peribadi menjadi faktor utama oleh murid menanggapi makna ketiga-tiga peribahasa tersebut. Implikasinya, kajian ini dapat mengetengahkan faktor-faktor yang mendorong murid-murid mentafsir makna peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu berdasarkan aplikasi teori relevans.

Published
2021-05-26