Inferens Multimodaliti Menerusi Strategi Integrasi dalam Kartun Usik-usik

  • Nur Izzati Abdullah
  • Anida Sarudin
  • Zulkifli Osman
  • Husna Faredza Mohamed Redzwan
  • Nazri Atoh
Keywords: mod linguistik, mod visual, Teori Linguistik Sistemik Fungsional, Pendekatan Multimodaliti, kartun

Abstract

Kombinasi perkataan dan gambar dalam karya kartun mampu menarik perhatian dan minat pelajar di samping
membantu pemahaman, menyuntik semangat terhadap pembelajaran, memperbaiki tingkah laku dan menambah produktiviti serta kreativiti. Keberkesanan kartun sebagai wahana dalam penyampaian maklumat, penyebaran idea dan memberikan hiburan ialah sumber multimodaliti yang terdapat di dalamnya. Dari perspektif multimodaliti, imej, perlakuan, tulisan dan lain-lain dirujuk sebagai ‘mod’(mode) yang terbentuk dalam sumber semiotik untuk menyampaikan makna. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti inferens multimodaliti yang terdapat dalam mod linguistik dan mod visual sama ada secara tersurat ataupun tersirat. Kajian ini menggagaskan strategi integrasi menerusi dua gagasan teori, iaitu Teori Sistemik Fungsional
Linguistik oleh Halliday (1994) bagi menganalisis mod linguistik dan Pendekatan Multimodaliti oleh Kress dan
Van Leeuwen (1996, 2006) bagi menganalisis mod visual atau imej dalam kartun. Data kajian diperoleh daripada kartun Usik-Usik (Koleksi Sinikal Dunia Pendidikan) yang diterbitkan di akhbar Utusan Melayu sejak tahun 2003-2009. Dapatan kajian menunjukkan bahawa inferens teks dapat dikenal pasti dalam representasi multimodaliti kartun Usik-usik, iaitu menjana mod linguistik dan mod visual melalui dua peringkat, iaitu (i) metafungsi interpersonal, (ii) representasi makna. Inferens yang terdapat dalam metafungsi interpersonal telah dianalisis menggunakan mood/mod dan residu, sementara inferens dalam representasi makna dianalisis menggunakan representasi naratif dan representasi konseptual.

Published
2021-05-26