Frasa dalam Anime yang Memberi Impak kepada Pelajar Universiti Awam, Malaysia

  • Roslina Mamat
  • Roswati Abdul Rashid
  • Rokiah Paee
Keywords: anime, pelajar, motivasi, universiti awam, bahasa Jepun

Abstract

Kertas kerja ini membincangkan tentang frasa atau ayat dalam animasi Jepun yang memberikan impak positif
kepada penggemar anime dalam kalangan pelajar universiti awam (UA) di Malaysia. Penyelidik anime mengetahui, di sebalik tanggapan negatif masyarakat terhadap anime, anime sentiasa menjadi hiburan dalam
kalangan kanak-kanak dan remaja termasuk pelajar universiti. Kajian penulis sebelum ini menunjukkan
kebanyakan responden mendapat motivasi dalam kehidupan mereka melalui anime. Dalam memainkan peranan sebagai pelajar, pekerja, anak atau sahabat terdapat begitu banyak kata-kata semangat dari anime yang menjadi dorongan dan motivasi kepada mereka. Oleh itu, kertas kerja ini cuba mengenal pasti frasa atau ayat yang terdapat dalam anime dan seterusnya mengelaskan frasa dan ayat tersebut kepada kumpulan tertentu. Kajian ini penting bagi melihat sejauh mana dan bagaimana anime mempengaruhi responden dalam kehidupan seharian. Tiga UA terlibat dalam kajian ini iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Sarawak. Borang kaji selidik melalui Google Form diedarkan kepada semua pelajar yang mengambil kursus bahasa Jepun pada semester kedua sesi 2018/19. Seramai 154 orang pelajar telah menjawab soalan yang diberikan. Hasil kajian menunjukkan frasa atau ayat dalam anime Jepun boleh dikelaskan kepada tiga bahagian yang boleh mewakili ‘perasaan’ responden pada sesuatu masa atau keadaan iaitu 1) kata sapaan, 2) ucapan memberi semangat dan 3) perkataan atau frasa atau ayat yang menarik yang ‘melekat’ dalam minda mereka. Kajian ini menyumbang kepada penyelidik anime khususnya serta masyarakat umum yang ingin mengetahui bagaimana peminat anime mempelajari bahasa dan budaya Jepun seterusnya menggunakannya dalam kehidupan mereka seharian.

Published
2021-05-27