Penyebaran Varian Leksikal Dialek Melayu Satun di Langkawi-Satun: Analisis GIS

  • Adriana Santa Tinggom
  • Nor Hashimah Jalaluddin
Keywords: Dialek Melayu Satun, dialek, GIS, penyebaran, leksikal

Abstract

Dialek Melayu Satun merupakan dialek yang dituturkan oleh masyarakat Melayu di wilayah Satun, Thailand. Dari aspek sejarah, Satun pada suatu ketika dahulu merupakan wilayah di bawah naungan Kedah. Akibat daripada pemerintahan Inggeris, maka Satun telah dimasukkan ke dalam pemerintahan Thai. Artikel ini bertujuan menghuraikan penyebaran varian leksikal dialek Melayu Satun dengan mengaplikasikan GIS. Kajian dialek ini telah melibatkan Pulau Langkawi dan juga Satun. Kajian bersifat multidisiplin ini akan menjelaskan bagaimana faktor bukan linguistik seperti bentuk muka bumi, persempadanan, migrasi, sejarah dan latar belakang responden selain faktor linguistik yang mencorakkan penyebaran dialek Melayu Satun. Kajian ini melibatkan enam buah mukim di Langkawi iaitu mukim Padang Matsirat, mukim Ayer Hangat, mukim Ulu Melaka, mukim Kedawang, mukim Bohor dan mukim Kuah dan lima buah mukim di wilayah Satun iaitu mukim Che Bilang, mukim Bankhuan, mukim Cha Lung, mukim Tammalang dan Tan Yong Poo. Data yang dikumpul melalui penyelidikan lapangan ini melibatkan 240 orang informan yang terdiri daripada golongan muda, golongan dewasa dan golongan tua. Data yang diperoleh kemudian ditranskripsi dan dimasukkan ke dalam perisian ArcGis bagi menghasilkan peta dialek. Hasil kajian menunjukkan memang terdapat penyebaran yang meluas dialek Melayu Satun di Pulau Langkawi dan juga wilayah Satun itu sendiri. Aplikasi GIS ternyata bukan sahaja mampu melakar choropleth dengan tepat tetapi dapat membuktikan bahawa faktor bukan linguistik menjadi faktor tambahan kepada mengapa tersebarnya sesuatu dialek itu ke satu-satu kawasan.

Published
2021-05-27