Dialek Dalam Gaya Bahasa Lagu Pasukan Bola Sepak Di Malaysia

  • Harishon Radzi
  • Nor Rasidah Mohamad Buhari
Keywords: Lagu, bola sepak, dialek, gaya bahasa, unik

Abstract

Malaysia terdiri daripada empat belas buah negeri. Setiap negeri mempunyai pasukan bola sepak yang mempunyai kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Salah satu keunikan ialah penggunaan dialek dalam lirik lagu pasukan bola sepak setiap negeri di Malaysia. Objektif makalah ini adalah untuk meneliti penggunaan dialek yang diterapkan bersama gaya bahasa tertentu dalam lagu pasukan bola sepak di Malaysia. Kajian ini menggunakan kaedah pengumpulan teks data dan kaedah transkripsi lagu-lagu bola sepak menerusi aplikasi ‘Youtube’. Terdapat lapan buah lagu pasukan bola sepak di Malaysia yang dipilih iaitu lagu bola sepak Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu. Hasil kajian mendapati terdapat tiga jenis gaya bahasa yang digunakan iaitu gaya bahasa pertentangan, pengulangan dan penyirnaan. Setiap gaya bahasa yang dianalisis mempunyai peranan khusus menerusi diksi dialek tertentu. Gaya bahasa pengulangan paling ketara diguna pakai dalam data kajian lagu yang dianalisis. Hal ini demikian kerana gaya bahasa pengulangan merupakan satu teknik yang sangat berkesan dalam diksi sesebuah lagu untuk melahirkan ciri penekanan kepada tindakan yang boleh dibuat oleh pemain demi mencapai sasaran pertandingan Justeru, analisis data membuktikan bahawa dialek boleh dilestarikan dalam lagu bola sepak di samping mewujudkan motivasi, semangat dan keunikan dialek lagu bola sepak setiap negeri. Selain itu, gaya bahasa yang digunakan menggambarkan keindahan bahasa yang dimiliki setiap lagu bola sepak di Malaysia.

Published
2021-05-27