Perkembangan Kamus Dwibahasa Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris dari Perspektif Maklumat dalam Takrif

  • Hasnah Mohamad
Keywords: Kamus, kamus dwibahasa, maklumat, takrif

Abstract

Dunia perkamusan Melayu sentiasa berkembang semenjak zaman dahulu lagi. Antara contoh terbitan awal
ialah Daftar Kata Melayu – Cina yang dikumpulkan sekitar tahun 1403-1511M. Seterusnya kamus
berkembang dengan ditambah huraian tatabahasa, diikuti dengan huraian makna serta contoh penggunaan
kata mengikut konteks. Kewibawaan sesebuah kamus dilihat pada ketuntasan aspek mikrostrukturnya,
mencakupi kategori maklumat seperti takrif, maklumat linguistik, serta aspek mediostruktur. Kajian terdahulu
yang ditelusuri didapati banyak memfokus pada aspek makrostruktur, namun masih kurang yang menyentuh
aspek mikrostruktur, khususnya kategori takrif. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan
perkembangan perkamusan Melayu dwibahasa dari sudut maklumat dalam takrif. Objektif kajian adalah
untuk membandingkan maklumat dalam entri Dictionary of The Malayan Language oleh William Marsden
(1812) dan Kamus Dwibahasa Longman (2009); menghuraikan maklumat huraian makna dalam kedua-dua
kamus dikaji; dan merumuskan persamaan dan perbezaan maklumat yang dipaparkan dalam kamus
berkenaan. Data kajian mencakupi entri kategori kata nama dan kata adjektif dalam kedua-dua kamus yang
dikaji. Pendekatan takrif tekstual digunakan untuk menghuraikan takrif, manakala perumusan takrif dibuat
berpandukan prinsip perkamusan. Kajian ini memaparkan perkembangan perkamusan Melayu dwibahasa dari
sudut maklumat dalam takrif, yang amat penting sebagai panduan untuk menghasilkan sebuah kamus yang
berwibawa pada masa akan datang.

Kata kunci: Kamus, kamus dwibahasa, maklumat, takrif

Published
2021-11-12