Analisis Struktur Sintaksis Iklan Barang-Barang Sukan dalam Bahasa Melayu
Keywords:
struktur sintaksis, Program Minimalis, iklan, bahasa MelayuAbstract
Ayat dalam sesuatu bahasa boleh dibentuk dalam struktur yang berlainan seperti ayat songsang, ayat aktif, ayat pasif, ayat perintah, ayat soal dan struktur yang lain. Struktur sintaksis ayat-ayat tersebut merupakan tumpuan perbincangan dalam kajian ini. Makalah ini menganalisis struktur sintaksis barangan iklan dengan menggunakan kerangka Program Minimalist (PM). Untuk memperoleh ayat yang dibentuk dalam struktur yang berlainan, iklan barang-barang sukan dalam bahasa Melayu dipilih sebagai data kajian. Kaedah pengambilan catatan dokumentari digunakan dalam mengumpulkan data penyelidikan, sementara kaedah kepustakaan digunakan dalam mengumpulkan kosa ilmu. Berdasarkan analisis yang dilakukan, hubungan antara imbuhan dengan struktur argumen dan penandaan peranan teta serta penandaan kasus memainkan peranan penting dalam pembentukan struktur ayat aktif, ayat pasif, dan ayat perintah dalam iklan. Penekanan nada dalam menghasilkan ayat penyata dan ayat perintah ditandakan oleh ciri kekuatan FFokus. Fitur fokus pada FFokus juga digunakan untuk memperlihatkan elemen yang ditekankan dalam ayat songsang. Dalam ayat soal yang mengandungi kata relatif yang, kajian ini mencadangkan FFokus adalah pada aras yang paling tinggi dalam projeksi hierarki, diikuti dengan FTopik, dan seterusnya FKomp. Hasil daripada analisis yang dilakukan, kajian ini telah merepresentasikan struktur sintaksis dalam ayat yang dikaji dengan menggunakan PM.

