Kajian Intertekstualiti menerusi Bahasa dan Kepimpinan

Authors

  • Neng Lia Marliana
  • Mohammad Fadzeli Jaafar
  • Harishon Radzi

Keywords:

bahasa Melayu, kepimpinan, praktik diskursif, analisis intertekstualiti, metawacana

Abstract

Bahasa Melayu dan kepimpinan di Malaysia merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dalam proses kepimpinan, penggunaan bahasa sedikit sebanyak menunjukkan gaya kepimpinan seseorang. Berdasarkan semakan, kajian terdahulu belum secara berpada menganalisis intertekstualiti, terutamanya metawacana dengan pendekatan Analisis Wacana Kritis (AWK). Metawacana merupakan sumber linguistik penting yang dapat mengawal khalayak kepada pemahaman teks ucapan dalam wacana kepimpinan Kajian ini bertujuan untuk menginterpretasi intertekstualiti pada aspek metawacana dan menjelaskan praktik diskursif melalui bahasa Melayu dan praktis kepimpinan. Kajian ini memanfaatkan kerangka AWK Fairclough (2013). Data wacana dalam kajian kualitatif ini ialah ucapan dalam “Sejenak Minda Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)” Siri 1, 10, dan 14. Rakaman data diambil dari Youtube UKM kemudian ditranskripsi untuk diperolehi teksnya. Kajian mendapati intertekstualiti pada aspek metawacana wujud dalam ucapan Naib Canselor UKM
berfungsi melalui penegasan sumber teks lain, metafora, dan parafrasa yang bersifat akademik, didaktik dan tidak kaku. Mesej melalui metawacana dalam bahasa Melayu dibina untuk memudahkan warga UKM memahami kandungan ucapan “Sejenak Minda Naib Canselor UKM”. Disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sangat mempengaruhi kualiti kepimpinan pewacana melalui analisis intertekstualiti pada aspek metawacana. Pewacana aktif dalam menghasilkan wacana kepimpinan sebagai manifestasi sikap kepedulian, komited, prihatin terhadap khalayak (warga UKM), serta kemajuan UKM sesuai matlamat di dalam Pelan Strategik UKM. Kajian ini diharapkan memberi sumbangan ilmu linguistik dan masyarakat mengenai penggunaan bahasa Melayu melalui wacana kepimpinan kepada khalayak secara baik dan berkesan.

Downloads

Published

2023-05-24