Aspek Intralinguistik dalam Penguasaan Bahasa Melayu kepada Penutur Asing
Keywords:
intralinguistik, penguasaan bahasa Melayu, penutur asing, minat dan motivasiAbstract
Istilah “intralinguistik” ialah satu subbidang berkaitan aspek dalaman bahasa yang meneliti nahu dan peraturan bahasa. Aspek intralinguistik ini dilihat dapat membantu penguasaan bahasa Melayu oleh penutur asing. Maka, kajian ini akan menganalisis dan membincangkan aspek intralinguistik, iaitu susunan kata, struktur kata, golongan kata dan pembentukan kata dalam meningkatkan kefahaman dan motivasi penutur asing yang mempelajari bahasa Melayu. Responden kajian ini ialah sembilan orang tenaga pengajar dari institusi pengajian tinggi terpilih. Kaedah kualitatif deskriptif digunakan dalam analisis kajian. Model yang akan digunakan ialah Model Intralinguistik oleh Wengying Jiang, Gardner dan Kunjana Rahardi bagi menghuraikan aspek intralinguistik yang boleh diaplikasikan oleh tenaga pengajar bagi membantu meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing. Dapatan kajian menunjukkan intralinguistik mampu menambah baik penguasaan bahasa Melayu penutur asing. Aspek intralinguistik tersebut ialah susunan kata, struktur kata, golongan kata dan pembentukan kata yang merupakan unsur-unsur utama intralinguistik mampu membantu meningkatkan kefahaman dalam penguasaan bahasa Melayu oleh penutur asing. Sumbangan kajian ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada pengajar dan pelajar dalam merealisasikan penguasaan bahasa Melayu yang optimum.

