Penukaran Kod dalam Adaptasi Komunikasi Pelajar Jurusan bahasa Melayu – bahasa Indonesia di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea.

Authors

  • Mazlina Ahmad
  • Cho Min Sung
  • Hafizah Abdul Hamid
  • Roswati Abdul Rashid

Keywords:

Penukaran kod, adaptasi komunikasi, bahasa Melayu, bahasa asing, sosiolinguistik

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menjelaskan fenomena penukaran kod yang berlaku dalam kalangan pelajar asing yang mempelajari bahasa Melayu. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah pemerhatian terhadap 10 informan yang merupakan pelajar-pelajar dari jurusan Penterjemahan dan Interpretasi Bahasa Melayu – Bahasa Indonesia di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea Selatan. Walaupun mereka mempelajari kedua-dua bahasa secara serentak, namun pengaruh bahasa Indonesia (B.IND) lebih dominan berbanding bahasa Melayu (BM). Salah satu faktor penggunaan B.IND lebih dominan adalah disebabkan oleh penawaran kursus B.IND adalah melebihi kursus BM. Kursus-kursus B.IND yang ditawarkan bukan sahaja merangkumi kursus bahasa, bahkan merangkumi kebudayaan, politik, ekonomi, sejarah dan sebagainya berbanding kursus BM yang hanya memfokuskan aspek bahasa sahaja. Namun begitu, kebanyakan pelajar dapat menggunakan BM dengan baik sama ada dalam lisan mahupun tulisan tetapi diselang-selikan dengan kosa kata dan bunyi B.IND. Penggunaan aplikasi sosial seperti WhatsApp dan KakaoTalk memberi ruang yang luas untuk pelajar berkomunikasi dengan pensyarah mereka menggunakan B.IND dan BM. Kebolehan pelajar dalam menguasai dua bahasa ini telah menyebabkan berlakunya penukaran kod ketika berkomunikasi. Dapatan kajian menunjukkan terdapat tiga bentuk penukaran kod dari BM ke B.IND dan bahasa Inggeris (BI), iaitu bentuk kata, bentuk frasa dan bentuk ayat. Kajian ini memberi implikasi bahawa penukaran kod merupakan satu fenomena sosiolinguistik yang selalu berlaku untuk melancarkan komunikasi antara penutur bukan natif dan penutur natif ketika mempelajari bahasa asing.

Downloads

Published

2023-05-24