Pengimbuhan Kata Bahasa Semai: Satu Penelitian Rintis

Authors

  • Mohamad Nik Mat Pelet
  • Mutiara Megat
  • Nurul Nadia Samud
  • Juliana Damsik
  • Norita Harijaman

Keywords:

Orang Asli, Bahasa Semai, sistem imbuhan, Teori Morfologi Leksikal, Austroasia

Abstract

Masyarakat Orang Asli merupakan sebahagian daripada warganegara Malaysia yang dikatakan penduduk asal atau terawal membuka penempatan di Malaysia (Paiz Hassan & Mohd Anuar Ramli, 2020). Sejarah perkembangan Orang Asli yang semakin pesat dan berdaya saing termasuk dalam pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara (Harishon Radzi et al., 2011) telah membuka lembaran baharu kepada masyarakat tersebut termasuklah penawaran mata pelajaran Bahasa Semai di sekolah. Pelaksanaan secara berperingkat bagi mata pelajaran Bahasa Semai di sekolah rendah dan menengah merupakan pengiktirafan kepada seluruh masyarakat Orang Asli di Malaysia. Pemilihan bahasa Semai sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah juga adalah mengambil kira majoriti suku kaum Semai dalam kelompok masyarakat Orang Asli (Riduan Makhtar et al., 2019). Walau bagaimanapun, penelitian awal mendapati sistem pengimbuhan yang digunakan dalam Buku Teks Bahasa Semai sekolah rendah dan menengah tidak selaras. Keadaan ini akan menyebabkan pembentukan pemahaman murid terjejas dan menyimpang. Kajian rintis dengan menggunakan kaedah kepustakaan melalui analisis dokumen ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis imbuhan yang digunakan dalam sistem imbuhan mata pelajaran Bahasa Semai di sekolah rendah dan menengah di samping, menganalisis jenis-jenis sistem imbuhan yang digunakan. Kajian berteraskan Teori Morfologi Leksikal ini mendapati sistem imbuhan yang digunakan dalam Buku Teks Bahasa Semai di sekolah rendah dan menengah bukan sahaja tidak selaras malah, ia juga didapati bercanggah dengan sistem bahasa Semai termasuklah rumpun bahasanya iaitu rumpun bahasa Austroasia. Lantaran itu, pemerkasaan terhadap bahasa Semai wajar dilakukan agar mata pelajaran Bahasa Semai diajar berlandaskan ilmu yang benar tanpa menyimpang daripada maksud sebenarnya.

Downloads

Published

2023-05-25