KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu perlu dikekalkan sebagai bahasa kebangsaan dalam institusi supaya budaya ini dapat mengukuhkan identiti kebangsaan, sekali gus mendukung semangat patriotisme.
Melalui inisiatif Konvensyen Bahasa Melayu dan Pertandingan Inovasi (KONBAYU 2023), sembilan resolusi dimuktamadkan sebagai panduan dalam memajukan Bahasa Melayu dan pendidikan berteraskan Bahasa Melayu di negara ini.
Berdasarkan konteks pendidikan, Bahasa Melayu sendiri berjaya memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan alat yang menyatukan seluruh peringkat pendidikan, dari tahap awal hingga menengah atas.
Secara tidak langsung, ia membolehkan sistem pendidikan untuk beradaptasi dengan era pendidikan 4.0 yang sedang berkembang pesat.
Selain itu, apabila Bahasa Melayu dikekalkan, kompetensi guru dalam mengamalkan pedagogi juga lebih efisien dan murid terdedah kepada teknik yang sesuai bagi membantu mereka menguasai kemahiran.
Kesannya kualiti sesi pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan, menjadikannya lebih menarik dan membolehkan murid untuk mencipta idea-idea baharu.
Sementara itu, literasi awal pula adalah kemahiran asas yang harus dikuasai oleh murid-murid prasekolah sebelum memperoleh kemahiran bahasa yang lain.
Justeru, perubahan amalan pedagogi guru pada peringkat awal lagi perlu dipertingkatkan dalam mengajar kemahiran bahasa kepada kanak-kanak agar bersesuaian dengan matlamat dalam Matlamat Pembangunan Mampan.
Pada masa sama, pengintegarisian teknologi juga perlu untuk meningkatkan kemahiran mengaplikasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Langkah ini membolehkan guru menggabungkan teknologi ke dalam pengajaran dengan lebih berkesan, membuka peluang baharu untuk pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menarik bagi pelajar.
Impaknya adalah pembelajaran yang lebih bermakna dan relevan untuk generasi pelajar masa kini.
Selain itu, pentaksiran alternatif digital dalam Bahasa Melayu juga penting dalam mengembangkan ilmu dan mencetus kesedaran guru untuk mengaplikasikan pentaksiran alternatif digital bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid.
Oleh itu, tindakan ini menjadi kunci dalam menjana pemahaman yang lebih mendalam mengenai pencapaian murid-murid dalam Bahasa Melayu.
Menyentuh mengenai pembelajaran komponen sastera menerusi aplikasi digital, ia juga sesuai dilaksanakan dengan era digital dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 bagi memantapkan kemahiran murid dalam menguasai konsep dan istilah dengan kaedah serta strategi pengajaran yang relevan sejajar dengan pembelajaran pada abad ke-21 (PAK 21).
Mengintegrasikan pedagogi berfokus dan terbeza dalam Bahasa Melayu dapat merungkai isu-isu dan mengenali keperluan yang berkaitan dengan amalan pedagogi berfokus dan terbeza dalam pengajaran serta pembelajaran Bahasa Melayu.
Oleh itu, tindakan ini menjadi penting dalam membentuk dan meningkatkan strategi pengajaran yang berkesan untuk kemahiran Bahasa Melayu.
Selain itu, kurikulum dan pedagogi Bahasa Melayu di Sekolah Orang Asli perlu dilakukan pembaharuan dan peningkatan dalam kurikulum agar sejajar dengan budaya dan nilai-nilai masyarakat Orang Asli.
Ini sejajar dengan usaha yang bertujuan memperkuat kedudukan Bahasa Melayu dalam komuniti anak-anak Orang Asli.
Oleh itu, langkah ini akan membantu memastikan pendekatan pengajaran lebih relevan dan sesuai dengan keperluan khas komuniti itu, sekali gus memupuk pemahaman Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak Orang Asli.
Sembilan resolusi ini bukan saja sebagai panduan untuk memartabatkan pendidikan Bahasa Melayu, tetapi sebagai landasan untuk memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai aset utama dalam pembangunan negara.
Menerusi langkah ini, kita dapat memastikan kelestarian kekayaan Bahasa Melayu khususnya dalam bidang pendidikan untuk generasi masa depan.