BANGI, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) meluahkan kebimbangan terhadap pertemuan antara Dong Jiao Zong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Kompleks Islam Putrajaya, baru-baru ini kerana tidak melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Walhal, isu yang dibincangkan adalah berkenaan pengenalan tulisan jawi sebanyak tiga muka surat di sekolah vernakular yang sebelum ini lantang dibantah oleh pertubuhan rasis itu.
Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, isu pembelajaran jawi di sekolah vernakular bukan di bawah bidang tugas Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), tetapi di bawah KPM.
“Timbul juga kerisauan kami berkenaan pertemuan itu apabila Kementerian Pendidikan tidak dilibatkan dalam pertemuan, sedangkan merekalah sebenarnya pihak yang paling berkepentingan dalam isu ini.
“Malah, Menteri di JPM (Perpaduan) juga tidak dilibatkan sama, sedangkan sebelum ini beliaulah yang menganjurkan dialog berkenaan isu ini, oleh kerana isu ini telah menggugat perpaduan negara dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikannya.
“Namun, Dong Zong ingkar dan enggan hadir pertemuan tersebut. Pemuda PAS mempersoalkan sejauh mana keputusan perjumpaan ini bakal mengikat pihak-pihak apabila kerajaan diwakili oleh menteri yang tidak ada kaitan dan bidang kuasa berkenaan pembelajaran jawi di sekolah vernakular,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan pertemuan Mujahid bersama Dong Jiao Zong, kelmarin.
Dalam sidang media tersebut, Mujahid menafikan kumpulan itu menentang jawi, tetapi sekadar mempersoalkan kaedah pembelajarannya saja.
Mengulas lanjut, Khairil mempersoalkan, sejauh mana perjumpaan dan kesepakatan itu mampu menyelesaikan polemik pembelajaran jawi yang telah memecahbelahkan perpaduan rakyat.
“Apakah Dong Jiao Zong sedia turun dan menjelaskan kembali kepada masyarakat bukan Islam berkenaan tuduhan jahat mereka selama ini? Apakah Dong Jiao Zong selepas ini akan lebih berlembut dan sedia berdialog kembali dengan Kementerian Pendidikan untuk pembelajaran jawi ini dilaksanakan di sekolah vernakular?
“Apa jaminan menteri dan Dong Jiao Zong pertemuan ini akan menyelesaikan isu ini, menghentikan polemik serta mengembalikan semula keharmonian dan perpaduan?,” soalnya.
Justeru, beliau mendesak Dong Jiao Zong agar mengambil langkah segera untuk membetulkan kesalahfahaman yang mereka timbulkan kepada masyarakat bukan Islam berkenaan pembelajaran jawi di sekolah vernakular.
“Pemuda PAS mengharapkan agar semua pihak dapat mencapai kesepakatan dalam isu pembelajaran jawi di sekolah vernakular dan menghentikan terus sebarang pemahaman salah serta mesej kebencian yang boleh menggugat perpaduan.
“Pemuda PAS bertegas bahawa tulisan jawi adalah suatu warisan yang perlu dikenali dan dipelihara, dan sebagai medium memupuk perpaduan.
“Tidak seharusnya tulisan jawi dijadikan modal perpecahan dan kebencian sehingga menggugat perpaduan masyarakat disebabkan keegoan sendiri,” katanya.