PENYATAAN PLM MEMBANTAH KERAS USAHA MENGHIDUPKAN SEMULA PPSMI/DLP DI MALAYSIA

PLM sedar sejak 1957 hingga 1970 wujud sekolah kebangsaan (Melayu) dan sekolah menengah Jenis kebangsaan Inggeris.

Demi perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa bagi semua bidang ilmu dari sekolah rendah hingga ke universiti, melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa penghantar Inggeris ditukar beransur-ansur kepada bahasa Melayu bermula dari sekolah rendah, seterusnya SRP menggantikan LCE (kemudian PMR dan kini PT3), SPM menggantikan MCE, STP/STPM menggantikan HSC.

Seterusnya bidang pengajian sastera dan sekutunya di universiti dan akhir sekali bidang sains termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain bermula dari tahun 1980 hingga selesai kira-kira tahun 1983. Malah sekitar tahun 1970 seperti yang pernah disiar dalam akhbar Utusan, Dr. Mahathir pada masa itu memberi saran agar bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar tunggal di universiti.

Alangkah molek dan bagusnya. Malangnya pada tahun 2002 Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri memberi saran yang TERBALIK pula agar bahasa Inggeris digunakan dalam bidang sains dari sekolah hingga universiti dengan serta-merta Dan tergopoh-gapah, tanpa sebarang kajian dan langsung tidak mengendahkan nasihat pakar pendidikan dan pakar bahasa.

Kemuncak bantahan ialah perarakan 100,000 RAKYAT ke istana negara untuk menghantar memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong setelah semua perundingan dan rayuan tidak diendahkan. Berpuluh-puluh kajian yang dibuat oleh banyak universiti, para profesor, DBP sendiri, PEMBINA dan lain-lain tidak di pedulikan langsung.

Dikhabarkan lebih RM4 billion dibelanjakan untuk tempoh kira-kira 7 tahun dan KEJAYAANNYA ialah

1..peningkatan keupayaan bahasa Inggeris pelajar sekadar kira-kira 4%..
2..kemahiran bahasa Inggeris pun gagal, tak pandai-pandai
3…sains pun lingkup sebab BELAJAR tak guna bahasa yang pelajar sedia “pandai”.. 2 kali gagal..
4…matematik pun lingkup atas sebab yang sama..3 kali gagal..
5…”bekalan” pelajar jurusan sains ke MRSM, SBP, MATRIKULASI dan
universiti berkurangan sehingga kini khususnya pelajar bumiputera sehingga merit atau markah mungkin terpaksa dikompromi untuk mencukupkan kuota.
6. Kedudukan pelajar Malaysia dalam TIMSS Dan PISA juga merudum.
7..Anehnya tiada kemerosotan ketara bagi pelajar bukan Melayu kerana mereka tetap berpeluang, tidak DIPAKSA..?.. (diberi peluang belajar sains matematik dalam bahasa mereka berbanding pelajar sekolah kebangsaan DIPAKSA untuk belajar hanya dalam bahasa Inggeris).

Sungguh malang nasib anak peribumi sendiri yang “dimangsakan” dan terbaharu “dimangsakan” sekali lagi dengan program tetapi sebenarnya dasar iaitu DLP, dwibahasa untuk sains dan matematik juga.

Kononnya sukarela tetapi sebenarnya paksaan dan penuh dengan tipu muslihat sejak dari mula lagi, sejak kononnya soal-selidik untuk bersetuju atau tidak sehinggalah di peringkat melaksana program muslihat ini di sekolah-sekolah.

Justeru PLM merayu Tun M agar segera:
1. membatalkan “PROGRAM MUSLIHAT” DLP, oleh KPM dan
2. tidak mengulang PPSMI yang JELAS
TERBUKTI GAGAL.

Sebagai negarawan ulung izinkan kami dan RAKYAT menyanjung Tun dengan segala jasanya sehingga ke akhir hayat dan tidak sekadar separuh jalan. Janganlah izinkan diri Tun menjadi hikayat klasik Mak Sirandang, dagang lalu maka nasi ditanakkan, tiada kayu tiang rumah ditebang, anak di pangkuan dibiar kebuluran.. (bahasa sendiri dihumbankan…)

Maafkan kami Tun, inilah suara ikhlas demi agama, bangsa, bahasa dan negara Malaysia tercinta. LIHATLAH TUN, tiada negara dan tamadun di dunia ini yang telah maju dengan bahasa menggunakan bahasa orang lain, malah yang menjulang bahasa orang lain berpuluh-puluh tahun sejak merdeka, tidak pun maju-maju hingga sekarang. Janganlah Tun terperangkap dalam lubang yang sama sehingga dua kali. LIHATLAH dengan mata hati dan nurani. Moga Tun mendapat hidayah. Amin.

Terima kasih.

KAMALSHUKRI ABDULLAH SANI
TIMBALAN PRESIDEN
PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA – PLM