KUALA LUMPUR 26 Ogos – Biar sekalipun bunyinya agak keras namun di sebalik kata-kata yang dihamburkan oleh Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd. Kiram yang berbunyi, “kuasai dahulu bahasa Melayu, barulah jadi pemimpin. Jika tidak, tak usah berangan nak jadi pemimpin,” memang ada kebenarannya.
Dr. Norazlina yang menjadi tetamu jemputan segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online pagi tadi berkata, jati diri perlu ada dalam diri rakyat Malaysia hari ini dan hanya sikap sahaja yang membuatkan seseorang itu tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), seseorang itu tidak layak bergelar pemimpin jika tidak fasih berbahasa Melayu.
“Menguasai bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini adalah amanah negara yang perlu dipegang oleh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum atau agama.
“Amanah itu perlu dipikul dan bagi saya, tidak perlulah berangan untuk menjadi pemimpin jika gagal menguasai Bahasa Kebangsaan kita,” katanya.
Menurut Dr. Norazlina lagi, sepatutnya rakyat Malaysia tidak perlu malu untuk menutur bahasa Melayu yang dianggap sebagai bahasa yang tidak ada kelas sebaliknya mengetahui sebab musabab mengapa bahasa Melayu ini dipilih sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Bahasa Melayu adalah bahasa lingua-franca. Ini bahasa penghubung atau bahasa yang dtutur di Tanah Melayu. Suka atau tidak, rakyat Malaysia telah diberikan satu amanah. Mungkin ada yang tidak tahu atau juga tahu tetapi bersikap pura-pura lupa.
“Kalau ini (bahasa Melayu) dikatakan sebagai satu amanah, kita harus melakukan amanah ini dengan sebaik mungkin, bukan dibuat-buat dan perlu lahir dari dalam diri dan jiwa,” ujarnya sambil menekankan, sebagai rakyat Malaysia, kita harus menerima dan menjalankan amanah ini.
Tambah Dr. Norazlina lagi, penghalang kepada penguasaan bahasa Melayu adalah disebabkan oleh sikap individu itu sendiri walaupun sudah menetap di Malaysia selama 62 tahun.
“Kalau pemimpin hari ini tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu, sepatutnya kita menggunakan sekatan. Kalau Yang Berhormat ini tidak boleh, tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu, jangan berangan untuk jadi pemimpin,” tegas beliau.
Dr. Norazlina menegaskan, apa yang dinyatakannya ini bukanlah pendirian beliau tetapi ini adalah apa yang difikirnya sebagai satu pendirian yang harus diterima oleh semua pihak.
“Kalau pemimpin-pemimpin kita, dari sekecil-kecil pemimpin sehinggalah ke sebesar-besar pemimpin tidak berani atau tidak mempunyai penghayatan untuk menggunakan bahasa Melayu semasa menjadi seorang pemimpin, jangan berangan untuk menjadi pemimpin kerana bahasa Melayu merupakan wadah atau medium untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
“Kalau bahasa Melayu, bahasa negara kita sendiri, anda tidak mampu untuk mengangkatnya, mana kemampuan anda untuk melaksanakan aspirasi negara,” katanya.
Mengakui kedudukan penguasaan bahasa Melayu pada hari ini dalam kalangan rakyat Malaysia berada di tahap memuaskan, beliau berkata, sepatutnya penguasaan Bahasa Kebangsaan pada hari ini harus berada di tahap cemerlang kerana bahasa Melayu itu amat mudah untuk dipelajari.
“Tidak boleh menguasai bahasa Melayu adalah sekadar alasan kepada golongan yang tidak mempunyai jati diri,” katanya. – UTUSAN ONLINE