SIARAN MEDIA PPSMI – GAPENA

GAPENA membantah sekerasnya akan kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan kembali PPSMI. PPSMI yang dilaksana pada 2003 – 2012 telah terbukti gagal sehingga memangsai hampir 3 juta pelajar yang sebahagian besarnya dari luar bandar dan kawasan pendalaman Malaysia. Lantaran kegagalan tersebut maka PPSMI ditukar kepada MBMMBI. Tindakan perlaksanaan kembali PPSMI ialah tindakan yang tidak masuk akal yang tidak mempertimbangkan segala faktor kegagalannya.

Sekali lagi tindakan sedemikian tidak menghormati dan tidak meyakini kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua peringkat pembelajaran dan pengajaran dalam sistem pendidikan kebangsaan. Lebih parah lagi tindakan sedemikian tidak menghormati keluhuran Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

GAPENA menggesa Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan mengkaji semula kesemua penemuan penyelidikan yang merumuskan kegagalan PPSMI 2003 – 2012. Satu Suruhanjaya bebas yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong perlu ditubuhkan untuk mengkaji kegagalan tersebut, disamping mengkaji kerugian wang yang berbilion ringgit yang telah dibelanjakan. Banyak makmal komputer dibina, banyak projektor LCD dibekalkan, banyak perkakasan “e – learning” untuk pelajaran dan pembelajaran dibekalkan, tetapi PPSMI gagal. Para guru yang terlibat dalam PPSMI diberi elaun insentif, tetapi ramai murid yang gagal, seperti gagalnya PPSMI.

Jawapan terbaik mengatasi kegagalan tersebut ialah kembali ke pangkal jalan, kembali kepada pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu di semua peringkat pendidikan. Janganlah pendidikan menjadi mangsa kepentingan politik dan kepentingan pihak kapitalis tertentu.

Datuk Zainal Abidin Borhan

Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Malaysia.