BANGI, 8 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Selepas Dr Maszlee Malik, Teo Nie Ching antara individu yang patut dipecat berikutan gagal menunaikan janji termasuk mengabaikan tanggungajawab yang diamanahkan.
Desakan itu disuarakan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Nie Ching sebagai Timbalan Menteri Pendidikan telah mengabaikan tugas dalam isu kajian impak Dual Language Programme (DLP) dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Katanya, Nie Ching sebelum ini telah berjanji di Parlimen, merujuk kepada menjawab soalan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada 26 November 2018.
“…di mana kata-kata Nie Ching yang tercatat di dalam Penyata Rasmi Parlimen adalah: “KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sedang menjalankan kajian impak DLP yang lebih komprenhensif. Dapatan kajian dijangka akan diperoleh dan dibentangkan pada Januari 2019,” katanya.
Terdahulu, KPM akan membentangkan kajian impak pelaksanaan DLP yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pada Januari 2019.
Nie Ching berkata, kajian yang lebih komprehensif sedang dijalankan kementeriannya dalam menilai pelaksanaan program itu.
Jelasnya, pada tahun 2017, KPM telah membuat pemantauan pencapaian murid DLP dalam dua fasa.
Fasa pertama membabitkan perbandingan antara pencapaian murid dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris akhir tahun 2016 dan pencapaian dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris tahun 2017.
“Fasa kedua melibatkan perbandingan antara pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris pertengahan tahun 2017 dan peperiksaan akhir tahun 2017 bagi mengesan pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk tahun semasa,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai PPSMI, Dr Kamarul berkata, walaupun KPM sebelum ini gagal mengeluarkan laporan terperinci mengenai pelaksanaan semula dasar itu, namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pada 16 Julai 2019, bahawa kajian terperinci berkenaan PPSMI sedang dilaksanakan oleh KPM ketika itu.
“Sebenarnya, bukan sahaja laporan terperinci pelaksanaan semula PPSMI gagal dikeluarkan KPM, malah lebih teruk lagi Nie Ching gagal menunaikan janji untuk membentangkan DLP pada Januari 2019.
“Dalam kemelut pelaksanaan semula PPSMI beberapa hari ini, Teo Nie Ching dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyebut mengenai pemerkasaan DLP sebagai alternatif kepada pelaksanaan semula PPSMI.
Begitupun, bagaimana kita boleh tahu keberkesanan DLP bila laporan kajian impaknya tiada?” soalnya.
Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.
“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik,” katanya.