Tun M nak laksana PPSMI, Wan Azizah kata belum muktam

BANGI, 8 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Dua hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memaklumkan pelaksanaan itu belum muktamad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan untuk melaksanakan PPSMI masih di peringkat awal.

“Perkara itu masih dalam perbincangan awal, keputusan masih belum dimuktamadkan,” katanya seperti lapor media tempatan, ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan dasar berkenaan.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

“Geografi dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching juga berkata, cadangan pelaksanaan PPSMI tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan sebaliknya perkara itu hanya disebut dalam kenyataan Perdana Menteri.

“Perkara itu bukan dalam agenda mesyuarat dan kita tidak bincangkan perincian seperti garis masa dan pelaksanaannya. Itu hanya kenyataan pembukaannya ketika mesyuarat yang bermakna belum ada keputusan rasmi (tentangnya).

“Walaupun jika beliau berkata demikian, kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu,” katanya