Sekumpulan pelajar PhD Malaysia di Jerman bantah PPSMI

(Gambar hiasan)

Empat pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran pada peringkat Doktor Falsafah di Jerman menulis memorandum membantah pelaksanaan semula PPSMI yang dicadangkan pemangku Menteri Pendidikan, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Farhan Nasir dari Universiti Tubingen, Nor Azizah Othman, Faraha Hamidi, dan Fairuzzaman Shaharuddin dari Universiti Frankfurt berpandangan suara mereka harus didengari atas kapasiti pelajar pasca siswazah yang mengkaji bahasa dari sudut sejarah, kebudayaan, sastera, dan politik merangkumi teori, formal, dan teknikal.

Hujah mereka dibawa lewat tiga tema utama iaitu (1) bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana sifat bahasa itu yang hidup, (2) bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana majoriti rakyat berbahasa Melayu sebagai bahasa pertama, dan (3) prestasi penterjemahan bahasa Melayu berbanding bahasa Jerman.

Menurut mereka, bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh sebagai bahasa ilmu sama ada pada tahap perbincangan keilmuan sehinggalah penggunaannya dalam bahasa pendidikan dan bahasa percakapan seharian.

“Kami lihat bukanlah satu masalah bahasa Melayu digunakan sebagai pengantar dalam perbincangan keilmuan dalam kalangan pakar. Jika pakar sesuatu bidang itu menguasai bahasa Melayu, dalam masa yang sama menguasai bidang tersebut, apalah lagi masalah beliau untuk menjelaskan bidang kepakarannya itu dalam bahasanya,” jelas mereka.

Kenyataan tersebut juga menyebut sudah jadi kebiasaan bagi situasi keilmuan di Malaysia untuk meminjam bahasa Inggeris secara membuta tuli, malah menggunakannya secara ‘rojak’.

Selain itu jelasnya, apa yang jauh lebih penting daripada PPSMI adalah memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, dan matematik (STEM) terlebih dahulu, dan ia lebih mudah dijalankan dalam bahasa yang difahami pelajar tersebut.

“Secara empiriknya pula, bukankah sudah ada beberapa kajian yang menunjukkan kemeruduman penyertaan dan markah dalam bidang STEM selepas pelaksanaan PPSMI yang lepas? Apa pula respons tuan terhadap dapatan-dapatan kajian ini?” tanya mereka kepada Dr Mahathir.

Membandingkan situasi di Malaysia dengan di Jerman, calon-calon PhD ini menerangkan para pakar di sana berfikir, berkomunikasi dan berbincang ilmu sains mereka dalam bahasa sendiri tanpa terbeban dengan pengistilahan Inggeris kerana memahami konsep dan makna adalah lebih penting daripada penamaan istilah.

Mengambil contoh lebih dekat, jelas mereka, Indonesia semakin maju dalam dinamika bahasa mereka kerana warganya mengakui kepentingan mempertahankan identiti walaupun mempunyai banyak etnik.

Kenyataan tersebut turut mempersoal “Apakah semangat sidang umum (town hall meeting) telah turut mati?” selain meminta kajian-kajian terdahulu berhubung keberkesanan PPSMI, dirujuk.