BANGI, 27 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Penubuhan sekolah vernakular adalah punca utama ketegangan kaum di negara ini, sehingga menyebabkan sikap prejudis sesama kaum
masih menebal.
Tidak mahu ia menjadi penyebab sikap ekstremis terus ‘subur’ dalam kalangan rakyat, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berkaitan keabsahan sekolah-sekolah vernakular.
Saman berkenaan difailkan terhadap Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia bagi mencabar Perlembagaan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.
iGuru yang lantang mempertahankan pendidikan sekolah satu aliran mengarahkan barisan peguam Datuk Shahrudin Ali, Hannan Ishak, Faidhur Rahman Hadi, Nadia Aziz dan Nazira Rahim bagi mendapatkan keputusan berkait undang-undang di mahkamah.
Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan mempersoalkan sekiranya kewujudan sekolah berkenaan menepati Perkara 152 Perlembagaan dan membina integrasi nasional.
Beliau berkata, saman difailkan bukan bertujuan menidakkan pembelajaran pelbagai bahasa, sebaliknya bagi memastikan status bahasa Melayu yang juga bahasa Kebangsaan diangkat sebagai bahasa pengantar pendidikan.
“Mana-mana sekolah vernakular yang tidak memenuhi ciri ini boleh ditafsir menyanggah perkara 152 Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan, peguam mewakili iGuru mengesahkan sudah menfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Sivil Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Katanya, mahkamah dijangka menetapkan tarikh untuk pengurusan kes tidak lama lagi.
“Saman seperti ini juga telah difailkan oleh kumpulan dan plainitif lain di mahkamah berlainan di Semenanjung Malaysia” katanya.
Terdahulu, sebanyak 3 kes saman writ difailkan dan kedua-duanya juga menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Sebelum ini, pada 8 Januari, Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) juga memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.
Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.
Pada 16 November lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), telah memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, pada 17 Disember tahun lalu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula telah memfailkan semula permohonan untuk mencabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Khairul Azam memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar di ibu negara kerana tidak setuju dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).