BANGI, 8 Rejab 1441H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan rakyat supaya terus mendesak kerajaan baharu – yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin – mengharamkan kumpulan radikal Cina, Dong Jiao Zong (Dong Zong).
Walaupun isu berkaitan kumpulan berkenaan sudah tidak dimainkan media arus perdana, namun petisyen bagi mendesak Dong Zong diharamkan masih kekal berjalan dengan sasaran terkini kepada 500,000 tandatangan.
PEMBELA dalam perkongsian di Facebooknya berkata, tuntutan itu bukanlah satu serangan terhadap kerajaan baharu, sebaliknya rayuan untuk dipertimbang oleh kerajaan.
Petisyen yang digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) beberapa bulan lalu, sudah berjaya mengumpulkan lebih 310,000 tandatangan.
Ia diwujudkan susulan tindakan pertubuhan rasis itu yang bermati-matian menentang polisi Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan tulisan khat jawi di sekolah vernakular untuk pelajar Tahun 4.
Bukan hanya menentang secara terbuka, Dong Zong juga mengumpulkan NGO Cina dan India serta menghasut mereka untuk menolak usaha itu.
Kerajaan akhirnya bertolak ansur dengan melonggarkan syarat pelaksanaannya sehingga menjadi pilihan (optional) dan menjadikan sukatan kepada tiga muka surat sahaja.
Langkah itu juga masih ditentang Dong Zong, dengan mencetuskan sentimen agama, menuduh kononnya tulisan jawi dan khat sebagai usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam, dan menggerakkan petisyen membantah perkara itu.
Bukan hanya isu tulisan jawi, Dong Zong juga antara yang lantang menuntut Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf sebagai tiket masuk universiti awam (IPTA), walaupun sistemnya bercanggah dengan dasar pendidikan negara.
Atas dasar itu, GPS menggerakkan petisyen di change.org bagi mendesak pertubuhan itu diharamkan, walaupun ia dipandang sepi kerajaan terdahulu – Pakatan Harapan (PH).